‘Gelombang rakyat, kenapa?’

Tan Sri Annuar Musa
- Advertisement -

JEMPOL: Gelombang sokongan terhadap PERIKATAN NASIONAL (PN) yang berlaku pada masa ini adalah penerusan daripada kebangkitan rakyat sejak Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.

- Advertisement -

Mantan Setiausaha Agung Umno, Tan Sri Annuar Musa berkata ia adalah ‘gelombang rakyat’ yang menolak Pakatan Harapan-Barisan Nasiona (PH-BN), bukan ‘gelombang hijau’.

Menurut beliau istilah ‘gelombang hijau’ sengaja diwujudkan untuk menakut-nakutkan rakyat terutama orang bukan Islam terhadap PAS dan PN.

“PAS tak pernah wujudkan istilah ‘gelombang hijau’. PERIKATAN NASIONAL pun tidak pernah wujudkan istilah ‘gelombang hijau’. Ada orang lain yang wujudkan ‘gelombang hijau’ nak menakut-nakutkan orang.

“Yang ada ini bukan ‘gelombang hijau’, bukan ‘gelombang biru’, bukan ‘gelombang kelabu’. Ini gelombang rakyat Malaysia yang mahu membebaskan diri mereka,” ujar beliau.

Menurutnya, ‘gelombang rakyat’ yang bermula pada PRU15 adalah sesuatu yang tidak dijangka melibatkan sokongan besar anak muda.

“Kita pun tak tahu dari mana datang. Anak-anak muda datang berbondong-bondong di Kelantan waktu pilihan raya yang lepas. (Parlimen) Ketereh zaman saya menang (majoriti) 5,000 (undi). PRU lepas kalah 23,000.

“Tanah Merah dulu hanya menang 1,000 ke 2,000. Baru-baru ni menang 44,000. Kuala Terengganu biasanya kalah 1,000, 2,000. Baru-baru ni menang (majoriti) 40,000. Daripada mana datang? Ini takdir Allah SWT. Rakyat bangkit,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di dalam program ‘Pelancaran Jentera Pilihan Raya PERIKATAN NASIONAL Negeri Sembilan bagi DUN Serting dalam Parlimen Jempol.

Tambahnya lagi, rakyat juga akan mewujudkan gelombang bagi menolak sesuatu parti jika mereka marah.

“Kalau rakyat tidak mahu, rakyat menolak Umno yang dipalitkan dengan isu 1MDB dalam PRU14. Rakyat tolak Umno kerana Zahid Hamidi dalam PRU15. Bukan salah Umno, bukan salah Umno Jempol atau mana-mana,” katanya.

Tambahnya lagi, gelombang rakyat boleh berlaku tanpa diduga seperti kemenangan besar Umno-BN dalam PRN di Melaka dan Johor yang membuatkan mereka yakin untuk menang PRU15 sehingga mendesak kerajaan pada masa itu untuk segera membubarkan Parlimen.

“Buat pilihan raya di Melaka (BN) kosong (kerusi), Selangor kosong, Penang kosong, Perlis kosong, Kedah kosong, Kelantan kosong, Terengganu kosong, Wilayah Persekutuan satu kerusi.

“Gelombang apa itu? Gelombang rakyat. Kenapa? Sebab rakyat tidak bodoh. Rakyat tolak apabila parti dan pemimpin lebih mengutamakan individu, tidak ada beramanah,” ujarnya.

Turut berucap dalam majlis yang sama ialahPesuruhjaya PAS Negeri Sembilan yang Timbalan Pengerusi PN negeri, Rafiei Mustapha, Pesuruhjaya PAS Johor yang juga Naib Pengerusi PN negeri, Ustaz Abdullah Husin dan Pengerusi Gerakan Bahagian Jempol, Datuk Puar Er Cheng. – HARAKAHDAILY 11/7/2023

- Advertisement -