Lebih 40 laporan polis dibuat terhadap Guan Eng

Amin dan Steven Koh menunjukkan salinan laporan polis terhadap Guan Eng yang dibuat di Balai Polis Butterworth, malam tadi.
- Advertisement -

BUTTERWORTH: Dianggar lebih 40 laporan polis dibuat terhadap Pengerusi DAP, Lim Guan Eng di seluruh negara berhubung ucapan kontroversinya yang mengandungi isu 3R iaitu agama, raja dan kaum.

- Advertisement -

Tinjauan Harakahdaily malam tadi mendapati lebih 10 laporan dibuat di Balai Polis Butterworth.

Di samping itu, difahamkan laporan polis juga dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Prai Tengah dan Ibu Pejabat Polis Timur Laut.

Menurut bekas calon Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 parlimen Bukit Mertajam, Steven Koh, laporan polis terhadap Guan Eng dibuat kerana mengguris hati masyarakat majmuk di negara ini.

“Tarik balik kenyataan tersebut dan mohon maaf. Jangan timbulkan isu perkauman setiap kali dekat pilihan raya untuk dijadikan modal politik,” ujarnya ketika ditemui selepas membuat laporan polis terhadap Guan Eng malam tadi.

Media melaporkan ketika berucap bersama komuniti Cina, Guan Eng mengajak pengundi Pulau Pinang menyekat gelombang hijau daripada bertapak di negeri itu, dibimbangi tokong Buddha dimusnahkan dan orang bukan Islam berdepan pelbagai sekatan.

Ahli Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) Bagan, Andrew Teow pula berkata, kenyataan kontroversi Guan Eng bertujuan untuk menakut-nakutkan masyarakat Cina terhadap PERIKATAN NASIONAL (PN).

“Dia takut gelombang hijau. Kaum Tionghua mungkin ada yang terpengaruh dengan kenyataan itu. Ia secara tidak langsung boleh meniupkan api perkauman.

“Pemimpin DAP meniupkan sentimen buruk untuk membina persepsi buruk terhadap PAS dan PN,” kata Andrew.

Katanya juga sejak DAP bekerjasama dengan Umno, parti demokratik itu ketandusan isu untuk diketengahkan kepada pengundi.

Beliau berkata, sekarang isu rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa tidak lagi fokus mereka.

“Sekarang kebanyakan pengundi sudah bangkit dan muak dengan janji-janji manis Pakatan Harapan pada PRU15 yang gagal ditunaikan selepas mereka menjadi kerajaan,” katanya.

Yang Dipertua PAS Bagan, Amin Jaafar berkata beliau membuat laporan polis terhadap Guan Eng bagi memboleh pihak berkuasa menjalankan siasatan secara adil terhadap mana-mana pihak yang mempermainkan sentimen 3R.

Ketua Armada Pulau Pinang Muhammad Zikri Zulkifli berharap pihak polis tidak tunduk kepada tekanan politik bagi menyiasat kenyataan Guan Eng. – HARAKAHDAILY 10/7/2023

- Advertisement -