Kelantan sedia bas angkut mahasiswa balik mengundi

Ustaz Dato' Bentara Kanan Ahmad Yakob
- Advertisement -

KOTA BHARU: Bagi memudahkan mahasiswa dan mahasiswi menunaikan tanggungjawab sebagai pemilih kerajaan Kelantan menyediakan perkhidmatan bas percuma.

- Advertisement -

Menteri Besar Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob berkata, langkah itu bagi membolehkan pelajar menunaikan tanggungjawab memilih pada Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos ini.

Katanya, perkhidmatan tersebut diuruskan Jawatankuasa Khas yang diketuai Pejabat Perbendaharaan Negeri dan diurusetiakan Pejabat Pembangunan Negeri.

Tarikh bagi perjalanan balik bermula 6 hingga 11 Ogos 2023 dan tarikh kembali ke destinasi pada 13 hingga 15 Ogos 2023.

“Kerajaan Kelantan sangat menyedari kepentingan mahasiswa dan mahasiswi dalam menunaikan tanggungjawab sebagai pemilih demi masa depan negara.

“Penglibatan mahasiswa dan mahasiswi sebagai pemilih dalam pilihan raya memberi impak sangat besar dalam membina negara melalui pentas demokrasi,” katanya pada kenyataan hari ini.

Menurutnya juga hak mereka sebagai pemilih tidak boleh dinafikan hanya disebabkan tekanan ekonomi dan kos sara hidup.

Kata beliau kos perkhidmatan pengangkutan akan meningkat dan terhad disebabkan permintaan yang tinggi pada musim pilihan raya sehingga membebankan mahasiswa, mahasiswi dan ibu bapa.

Menteri Besar juga berkata, mahasiswa dan mahasiswi bebas menggunakan hak mereka untuk memilih mana-mana calon atau parti politik yang bertanding tanpa terikat dengan apa jua syarat.

“Semoga perkhidmatan tersebut dapat membantu meringankan beban mahasiswa, mahasiswi serta ibu bapa,” ujarnya.

Keterangan lanjut hubungi Pejabat Pembangunan Negeri di talian 09-748 1180. – HARAKAHDAILY 6/7/2023

- Advertisement -