Keahlian DHPP Lukut meningkat mendadak

- Advertisement -

LUKUT: Timbalan Ketua Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) Negeri Sembilan, Dato’ Ragu Subramaniam memaklumkan lebih 300 ahli baharu DHPP berjaya didaftarkan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lukut dalam tempoh tiga bulan ini.

Menurutnya, kemasukan ahli-ahli baharu ini menjadikan keseluruhan ahli DHPP di DUN ini bakal mencecah 1,000 orang yang majoriti daripada kalangan masyarakat India.

- Advertisement -

“Perkembangan DHPP di kawasan Port Dickson, terutama DUN Lukut sangat bagus. Ahli lama lebih 500 orang. Sekarang ni permohonan baharu lebih 300 orang. Kita akan serahkan semua borang ini pada 15 Julai ni. Itu di Lukut sahaja.

“Kita jelaskan bahawa PAS kepada mereka (bukan Islam), mereka suka. Mereka kata, macam ini rupanya PAS. Mereka kata, mereka dengar macam-macam yang tak baik tentang PAS sebelum ini,” katanya.

Tambahnya, mereka baru sedar bahawa selama ini mendapat maklumat yang salah tentang PAS, namun setelah diberi penjelasan, kini faham situasi sebenar.

Mengulas tentang kemasukan beliau ke dalam PAS beberapa tahun lepas, beliau yang juga merupakan Ketua DHPP Kawasan Port Dickson menjelaskan penyertaannya dalam PAS kerana melihat PAS adalah sebuah parti yang tidak membeza-bezakan antara ahli.

“Sebelum saya masuk PAS, saya pun fikir PAS ni seperti yang mereka selalu cakap (rasis), tapi bila saya masuk PAS saya tengok bukan macam tu, malah (ahli PAS lain) banyak tolong saya.

“Bila kita minta bantuan untuk berkempen, orang-orang PAS tidak minta duit. Bila saya keluar duit untuk belanja makan mereka suruh saya simpan duit tu, mereka ada duit tabung,” ujar beliau.

Sementara itu, katanya ada beberapa isu berbangkit di DUN ini yang bakal diperjuangkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan kali ini, antaranya ialah masalah banjir.

“Di Lukut, ada beberapa isu yang membelenggu penduduk. Antaranya masalah banjir yang kerap berlaku di sini. Kalau kita tengok penyelenggaraan longkang-longkang sangat lemah yang mungkin menjadi punca kerap berlaku banjir,” katanya.

Berkaitan peluang PERIKATAN NASIONAL (PN) untuk memenangi kerusi DUN ini jika DHPP diberi peluang untuk bertanding, beliau menzahirkan keyakinan untuk menang berdasarkan maklum balas rakyat dan kerjasama baik antara parti dalam PN.

“Cuma kita mungkin hadapi cabaran untuk meyakinkan pengundi Cina yang merupakan majoriti di sini. Sebab bila sebut PAS mereka sudah fikir lain,” ujar beliau.

Menurut Ragu, DHPP di sini menjalankan program kebajikan membantu rakyat selama ini dan masyarakat tempatan sudah mengenali pimpinan DHPP tempatan.

Jelasnya, ini menjadi kekuatan kepada DHPP dari PAS untuk mewakili PN bagi kerusi DUN Lukut pada PRN ini.

“Rakyat sekarang melihat siapa yang boleh buat kerja membantu mereka. Sekarang pun kita sudah banyak menjalankan program membantu rakyat.

“Kita yakin rakyat faham bahawa dalam keadaan kita belum menang atau menjadi kerajaan, kita sudah pun boleh membantu. Jika kita menang, sudah tentu lebih banyak yang kita boleh bantu,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 4/7/2023

- Advertisement -