ADUN Cheka kunjungi warga Dall Singh, Fah Choon

- Advertisement -

LIPIS: Pemimpin kerana kesediaannya berada di tengah kancah masyarakat dan menjengah rutin harian rakyat pasti dapat membibit hubungan kebersamaan dan kasih sayang sesama mereka.

Apatah lagi apabila denyut nadi kehidupan rakyat itu diselami sendiri oleh sang pemimpin dan bertekad pula untuk merubah kepada suasana yang lebih baik dan mensejahterakan.

ADUN Cheka, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man yang juga Timbalan Presiden PAS menyantuni penduduk pelbagai kaum dan lapisan umur ketika berkunjung ke Perumahan Dall Singh dan Taman Fah Choon, di sini semalam.

Di sebalik perhatian ditumpahkan beliau kepada mereka itu yang rata-ratanya hidup penuh kedaifan dan penuh kekurangan, rupanya beliau sendiri pernah melalui pengalaman sama suatu ketika dahulu.

“Rumah yang mereka sewa hanya ada satu atau dua bilik kecil. Sebenarnya saya tergamam, kawasan inilah saya sewa pada tahun 1985 bersama sahabat saya Saiful Bahri Yaziz sewaktu kami mengajar di Sekolah Menengah Clifford, Kuala Lipis.

“Setelah tamat ijazah dari UKM (Universiti Kebangsaan Malaysia) pada pertengahan tahun 1985, saya telah menerima tawaran mengajar sementara di sekolah itu. 

“Saya mengajar subjek sejarah untuk Tingkatan Enam pada masa itu. Walaupun hanya enam bulan sahaja di sana, namun banyak kenangan manis maklumlah tempat pertama bertugas. 

“Rumah sewa Perumahan Dall Singh menjadi kenangan manis hari ini, bila saya berkunjung menyampaikan sumbangan kepada semua penghuni di sini. 

“Saya juga berkesempatan bersua muka dengan bekas guru-guru dan staf di Sekolah Clifford termasuk Haji Hamid, bekas Ketua Kerani,” ujarnya mengimbau kembali nostalgia yang cukup dekat dihati beliau itu.

Ceritanya, selepas itu pada Januari 1986 beliau mendapat tawaran menjadi pensyarah di Institut Teknologi MARA (ITM) Manjung, Perak selama 4 tahun sebelum berpindah ke ITM Kuantan, Pahang di Kuantan.

Beliau juga ketika itu melanjutkan pengajiannya ke peringkat Ijazah Sarjana di Fakulti Pengajian Islam UKM.

Ustaz Tuan Ibrahim melihat keadaan kediaman yang masih sama seperti hampir 40 tahun dahulu itu berkata akan cuba mendapatkan bantuan untuk perumahan lebih sesuai diberikan pihak kerajaan negeri. – HARAKAHDAILY 4/7/2023

- Advertisement -
- Advertisement -