Hari Arafah satukan umat Islam pertahan dasar MBI

- Advertisement -

TUMPAT: Kerajaan Kelantan menganjur program Penghayatan Hari Wukuf di seluruh kawasan parlimen negeri itu sempena 9 Zulhijjah hari ini.

- Advertisement -

Malah hari ini turut dijadikan hari kelepasan am bermula 9 Zulhijjah tahun lepas bagi membolehkan orang ramai menghayati Hari Wukuf terutamanya mereka yang tidak berkesempatan menunaikan ibadat haji tahun ini.

Sambutan itu di peringkat parlimen Tumpat diadakan di padang Puteri Saadong Wakaf Bharu yang bermula jam 8 pagi. Turut hadir Menteri Besar Ustaz Dato Bentara Kanan Ahmad Yakob.

“Saya menyeru muslimin dan muslimat sama-sama mengambil manfaat kelebihan 10 hari awal Zulhijjah yang mempunyai pelbagai kelebihan di sisi Allah SWT terutama pada Hari Wukuf di Arafah.

“Hikmah Mabit juga amat besar sekali kepada umat Islam untuk dihayati dan dilaksanakan dalam kehidupan kita seterusnya berusaha mendekatkan diri kepada Allah SWT,” katanya pada perutusan sempena program berkenaan.

Menurutnya kerajaan negeri menganjurkan program Penghayatan Hari Wukuf di semua 14 kawasan parlimen bertujuan mengajak rakyat Kelantan untuk sama-sama meraih dan merebut kelebihan serta mengeratkan kesatuan rakyat diseluruh kawasan.

Katanya juga umat Islam disunatkan berpuasa Hari Arafah kerana besar fadilatnya sebagaimana Hadis Rasulullah saw.

Nabi SAW juga bersabda, Maksudnya: “Sebaik-baik doa adalah doa pada hari Arafah”. [Riwayat al-Tirmizi.

Menteri Besar berkata, sama-sama kita bermunajat pada hari yang mulia dan berdoa kepada Allah agar umat Islam terus bersatu padu.

“Semoga pengajaran Hari Arafah menyatukan hati-hati umat Islam untuk terus pertahankan perpaduan ummah dan kerajaan negeri di bawah Dasar Membangun Bersama Islam (MBI),” ujarnya. – HARAKAHDAILY 28/6/2023

- Advertisement -