Jurulatih cedera dalam insiden latihan menembak stabil

- Advertisement -

SEREMBAN: Seorang jurulatih Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang terbabit dalam insiden kemalangan ketika menjalani latihan menembak senjata dan bom lempar di Tapak Latihan Grenade Asas, lapang sasar Kem Syed Sirajuddin, Gemas semalam dilaporkan stabil.

- Advertisement -

TUDM dalam kenyataan hari ini memaklumkan jurulatih di Institut Pengajian Pentadbiran dan Pengurusan (INSTAR), Pangkalan Udara Sendayan, Koperal Udara Khairuzaman Lokman, 35, itu kini sedang menerima rawatan di Hospital Segamat, Johor dan berada dalam pemantauan rapi.

Terdahulu, dalam kejadian 12.10 tengah hari itu, dua anggota turut maut iaitu penuntut INSTAR Laskar Udara I Mohd Iqmal Masdi, 22, yang disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala jurulatih Koperal Udara Syuib Bidin, 33, meninggal dunia pada 5.45 petang ketika menerima rawatan akibat kecederaan parah di Hospital Segamat.

Kenyataan itu menyebut waris anggota yang terlibat telah dimaklumkan dan TUDM akan memastikan semua urusan kebajikan keluarga mangsa yang terlibat diutamakan serta urusan pengebumian disempurnakan dengan sebaik-baiknya.

“Panglima Tentera Udara Jen Tan Sri Datuk Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan serta pucuk pimpinan tertinggi menzahirkan rasa dukacita atas kejadian berkenaan dan merakamkan salam takziah kepada waris anggota yang meninggal dunia yang merupakan kehilangan besar kepada TUDM,” menurut kenyataan itu.

Semua waris anggota yang terlibat juga diharap bersabar, tabah dan reda menghadapi ujian yang berlaku, katanya.

Pihak TUDM turut meminta supaya semua pihak tidak menyebarkan sebarang spekulasi dan berita tidak sahih sehingga proses siasatan dijalankan oleh Polis Diraja Malaysia selesai, tambah kenyataan itu. – BERNAMA

- Advertisement -