Penternak lembu jadi korban ekonomi semasa negara

Penternak lembu di Malaysia kini terpaksa menanggung kos yang tinggi khususnya melibatkan kenaikan makanan ternakan seperti dedak. (FOTO HIASAN)
- Advertisement -

Isu ekonomi negara dan peningkatan kos sara hidup yang sedang dihadapi oleh rakyat Malaysia pada masa ini memberi kesan kepada banyak pihak.

Rata-rata rakyat mengeluh dengan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan yang terpaksa dihadapi mereka.

Keluhan mereka bukan berkaitan dengan sesuatu kemahuan (wants – nice to have) tetapi menjurus kepada keperluan asas (necessity – need to have) seperti barangan makanan, pakaian, tempat tinggal dan perkhidmatan asas seperti pengangkutan, perubatan dan pendidikan.   

- Advertisement -

Antara yang terkesan dengan situasi ini adalah penternak atau pengusaha lembu yang mengalami kemerosotan penjualan lembu-lembu mereka khususnya menjelang Hari Raya Aidil Adha atau Hari Raya Korban pada 29 Jun 2023 ini.

Lazimnya, penternak lembu adalah golongan yang teruja untuk menyambut Hari Raya Korban, selain dari jemaah haji yang berada di Tanah Suci Mekah. 

Ini adalah kerana hasil jualan lembu-lembu mereka meningkat pada waktu ini kerana permintaan yang tinggi untuk pelaksanaan ibadah korban. 

Harga seekor lembu

Namun pada tahun ini, berdasarkan bacaan dan laporan yang diterima, kebanyakan penternak lembu mengalami penurunan permintaan atau jualan hingga 15 hingga 20 peratus sepertimana di laporkan media tempatan. Tempahan lembu korban menurun 20 peratus – Sinar Harian Tempahan lembu korban kurang berbanding tahun lepas

Penurunan permintaan untuk lembu korban ini mungkin disebabkan oleh beberapa faktor.  ntara faktor yang ketara adalah dari segi kenaikan harga lembu dan juga kemampuan pembeli. 

Hasil tinjauan, didapati harga seekor lembu adalah sekitar RM4,900 hingga RM6,020 bergantung kepada saiz lembu tersebut. 

Sekiranya lembu tersebut dijadikan lembu korban, purata satu bahagian lembu (1/7) adalah antara RM700 hingga RM860. 

Dalam keadaan ekonomi semasa dengan kenaikan kos sara hidup, pembeli atau individu yang berhasrat untuk menunaikan ibadah korban terpaksa menangguh dahulu hasrat atau hajat mereka bagi menyalurkan wang tersebut kepada keperluan utama atau asas yang lebih mendesak. 

Penipuan ibadah korban

Sungguhpun ibadah korban amat dituntut untuk dilaksanakan dalam Islam bagi yang berkemampuan, namun ianya mungkin terpaksa ditangguhkan pada tahun ini dengan azam dan harapan rezeki akan bertambah atau harga akan berkurangan pada tahun-tahun akan datang.

Dalam situasi sebegini, penternak lembu tidak boleh sewenang-wenangnya menurunkan harga lembu mereka bagi menarik permintaan yang lebih tinggi. Ini adalah kerana mereka juga terpaksa menanggung kos yang tinggi khususnya melibatkan kenaikan makanan ternakan seperti dedak.

Bagi individu yang tekad dan bersungguh-sungguh untuk melaksanakan ibadah korban, ada diantara mereka yang memilih untuk berkorban di luar negara seperti di Kemboja, Laos, Vietnam, Indonesia serta negara-negara Timur Tengah seperti Syria, Palestin, Yaman dan Iraq dengan harga lembu yang lebih murah (bergantung kepada negara serta agensi yang menguruskan ibadah korban). 

Banyak agensi atau badan bukan kerajaan (NGO) serta individu yang menawarkan perkhidmatan korban di luar negara ini. 

Namun adalah disarankan supaya individu-individu yang berhasrat untuk berkorban di luar negara membuat semakan dan penyelidikan terlebih dahulu terhadap agensi/NGO/individu berkaitan bagi mengelakkan sebarang penipuan atau mengakibatkan ibadah korban yang tidak sah.

Sememangnya melakukan atau mengambil bahagian di dalam ibadah korban adalah menjadi hasrat bagi setiap Muslim yang beriman, namun kekangan kewangan atau ekonomi semasa mungkin membantutkan hasrat murni individu tersebut. 

Sekiranya individu berkenaan mempunyai azam dan nekad yang kuat untuk menunaikan perintah Allah yang satu ini, beliau mungkin boleh membuat perancangan awal dengan membuat tabungan pada setiap hari/minggu/bulan dalam kadar kemampuannya bagi tujuan ini. 

Patuhi kawalan harga

Tabungan ini boleh bermula seawal bulan Muharram, bulan pertama Hijrah iaitu selepas sahaja berakhirnya bulan Zulhijjah dimana ibadah korban dilakukan dalam bulan tersebut (10 – 13 Zulhijjah). 

Dalam erti kata lain, beliau mempunyai hampir setahun untuk mencukupkan tabungan tersebut. Jika diandaikan harga sebahagian korban (1/7) adalah RM860 pada tahun hadapan, individu tersebut hanya perlu menyimpan kira-kira RM72 sebulan atau RM16 seminggu atau RM2.35 sehari. 

Kesimpulannya, selain dari berdoa kepada Allah SWT, usaha yang sedikit tetapi berterusan akan mencapai matlamatnya sebagaimana Peribahasa Melayu menyebut ‘sikit-sikit lama-lama jadi bukit’ dan ‘sehari selembar benang, lama-lama menjadi kain’.

Cadangan seterusnya, pihak kerajaan perlu memastikan pemain industri mematuhi harga kawalan makanan ternakan dan pengawalan harga perlu juga dibuat dalam rantaian industri. 

Dengan adanya pengawalan harga ini, ia dapat memastikan semua pihak khususnya pengguna/rakyat, penternak dan industri mencapai matlamat dan habuan masing-masing.

Bagi sesetengah pihak, isu yang diketengahkan ini mungkin boleh dianggap remeh dan menjurus kepada sesuatu kelompok atau golongan tertentu sahaja. 

Namun, apa yang harus diperhalusi adalah berkaitan dengan keadaan ekonomi semasa negara dan permasalahan yang dihadapi oleh rakyat secara umumnya. 

Pelajar lepasan SPM 

Mungkin ibadah korban dianggap kecil atau sunat dan boleh ditangguh atau diabaikan; tetapi bagaimana pula dengan nasib anak-anak lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang keputusannya telah diumumkan pada 8 Jun 2023 yang lepas? 

Mungkin ada yang mendapat keputusan cemerlang dan dapat tawaran melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi sama ada di dalam atau di luar negara, namun terpaksa menolak tawaran tersebut kerana tidak mempunyai sumber kewangan atau tajaan yang mencukupi. 

Atau mungkin juga terpaksa menangguh dulu tawaran tersebut kerana ingin bekerja bagi membantu ibubapa untuk menyara keluarga dan adik beradik yang lain.

Sayugia maklum, dalam keadaan ekonomi semasa, jumlah dan bilangan tajaan sama ada biasiswa atau pinjaman adalah terhad dan semestinya pemilihan adalah berdasarkan kecemerlangan keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan melepasi sesi temuduga atau ujian. 

Bagaimana pula nasib pelajar-pelajar yang tidak terpilih atau yang mencapai keputusan sederhana dalam SPM mereka dan tidak lupa kepada pelajar-pelajar yang tidak lulus atau tidak mendapat sijil kerana gagal mata pelajaran wajib? 

Isu pendidikan ini telah banyak dibahaskan dan diperkatakan oleh banyak pihak dalam pelbagai aspek (kualiti, pembiayaan, peluang pekerjaan, haluan kerjaya, masa depan negara, dan lain-lainnya), namun satu penyelesaian yang menyeluruh, berterusan dan berpanjangan harus dicernakan dan dimaktubkan sebagai polisi pendidikan negara.

Sebagai kesimpulan, dalam keadaan ekonomi sekarang, rakyat sangat mengharapkan agar kerajaan dan pihak-pihak yang berkepentingan dapat sama-sama memikirkan dan mengambil tindakan demi kesejahteraan kehidupan rakyat Malaysia secara keseluruhan tanpa mengira parti politik, bangsa, kaum, agama, lokasi, dan sebagainya. 

Cabaran serta tekanan yang dihadapi oleh negara bukan sahaja dari dalam negara tetapi juga datang dari luar negara yang mana agak sukar untuk ditangani secara terus atau langsung.

Oleh yang demikian, permasalahan dalam negara seperti isu ekonomi dan kenaikan kos sara hidup ini seharusnya ditanggung oleh semua pihak dan perlu mengembelingkan usaha dan tenaga ke arah kesejahteraan rakyat dan negara Malaysia yang tercinta ini. 

Sama-samalah kita menhadapinya kerana ‘bulat air kerana pembentung, bulat kata kerana muafakat’. – HARAKAHDAILY 26/6/2023

Prof Madya Dr Amanuddin Shamsuddin

​Prof Madya Dr Amanuddin Shamsuddin ialah Dekan, UNITEN Business School (UBS), Universiti Tenaga Nasional (UNITEN). (Beliau boleh dihubungi melalui e-mel [email protected])

PENAFIAN:HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.