Al-Hilal pancing Koulibaly dari Chelsea

Kalidou Koulibaly
- Advertisement -

Pemain pertahanan Senegal, Kalidou Koulibaly, menjadi pemain antarabangsa terbaharu menyertai kelab Arab Saudi, Al-Hilal dari kelab Liga Perdana Inggeris, Chelsea.

“Kami akan terus bersama-sama mencipta sejarah,” tulis Al-Hilal di Twitter, bersama video pendek yang memaparkan Koulibaly.

- Advertisement -

Juara empat kali Liga Juara-Juara Asia itu menyatakan kontrak Koulibaly adalah sehingga 2026 tanpa memberikan sebarang butiran kewangan. Media Britain melaporkan bahawa kelab Arab Saudi itu akan membayar kira-kira 17 juta Pound (AS$21.61 juta) untuk pertahanan tengah itu.

“Saya di sini bersama mereka yang mencipta kejayaan pada masa kini dan masa depan,” kata pemenang Piala Negara-Negara Afrika itu.

Koulibaly menjaringkan dua gol melalui 32 penampilan dalam semua pertandingan untuk Chelsea selepas menyertai kelab itu dari Napoli, Julai lalu.

Pemain berusia 32 tahun itu adalah pemain kedua berpindah ke Al-Hilal dari Liga Perdana Inggeris selepas pemain tengah Portugal, Ruben Neves dari Wolverhampton Wanderers, Jumaat lalu.

Liga Pro Arab Saudi menarik perhatian pemain yang berpangkalan di Eropah sejak Cristiano Ronaldo berpindah ke Al-Nassr, Januari lalu.

Juara liga, Al-Ittihad menandatangani pemenang Ballon d’Or, Karim Benzema awal bulan ini, selain mengesahkan bekas pemain tengah Chelsea, N’Golo Kante menyertai kelab itu.

Al-Hilal adalah kelab paling berjaya di Arab Saudi dan Asia setelah memenangi 66 piala dan memegang rekod gelaran juara liga dan Asia, masing-masing sebanyak 18 dan empat kali.

Memperkuatkan skuad adalah keutamaan bagi kelab yang berpangkalan di Riyadh itu yang kehilangan kejuaraan liga dan Liga Juara-Juara.

Media Sepanyol melaporkan bahawa Al-Hilal juga berminat untuk mendapatkan khidmat pemain tengah Manchester City, Bernardo Silva. – REUTERS

- Advertisement -