PRN: Semangat tinggi PAS Melaka bantu Negeri Sembilan

- Advertisement -

BUKIT KATIL: PAS Melaka menzahirkan komitmen tinggi bagi membantu PAS Negeri Sembilan untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan diadakan tidak lama lagi.

- Advertisement -

Pesuruhjaya PAS Melaka, Tuan Guru Zulkifli Ismail berkata, kemenangan membolehkan Negeri Sembilan mengorak langkah bagi menegakkan Islam dengan lebih teguh.

Menurut beliau, Negeri Sembilan mempunyai sejarah yang panjang kerana pernah membantu Melaka ketika diserang oleh Portugis.

“PAS Melaka diminta tidak menjadikan kemenangan di dua Parlimen yang dicapai pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 untuk berasa kagum dengan kemampuan sendiri,” katanya pada pelancaran Jentera Pilihan Raya Melaka Negeri Bantu Negeri Sembilan di Dewan Mualim Haji Wahid, di sini, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Jasin turut menasihati petugas-petugas PAS Melaka yang akan bertugas di Negeri Sembilan sentiasa meletakkan pergantungan kepada Allah SWT.

“Allah menyebut dalam Al-Quran mengenai cabaran yang ditempuh oleh sahabat setelah diberikan kemenangan. ‘Demi sesungguhnya Allah telah memberikan pertolongan kemenangan di beberapa medan pertempuran yang banyak.

“Dan pada peperangan Hunain pula ketika kamu diserang rasa kagum dengan jumlah bilangan kamu yang ramai, lalu kamu mendapati jumlah bilangan yang ramai itu tidak memberi sebarang manfaat pun kepada kamu kamu, mendapati bumi menjadi sempit. Kamu kemudiannya berpaling bertempiaran lari meninggalkan medan peperangan.

“Rasa kagum melibatkan para sahabat bersikap cuai sehingga akhirnya dalam pertempuran Hunain ketika sahabat bergerak menuju ke medan pertempuran mereka tidak menyedari dua kabilah besar daripada kabilah Arab cekap berperang telah bersedia untuk menyerang mereka secara mengejut.

“Mereka merasakan dengan bilangan yang besar itu mereka tidak akan dikalahkan sehingga mereka menjadi cuai. Dan ketika keluar daripada Kota Madinah para sahabat R.A sebahagiannya telah mengatakan dengan ucapan yang tidak disukai oleh Allah SWT ‘Kita ni banyak. Tidak akan sekali-kali kita akan dikalahkan dengan sebab bilangan kita kecil kerana hari ini bilangan kita ramai’,” ujar beliau.

Pelancaran Jentera PAS Melaka Negeri Bantu Negeri Sembilan disempurnakan oleh Ketua Penerangan PAS Pusat, Ir Ts Khairil Nizam Khirudin. – HARAKAHDAILY 24/6/2023

- Advertisement -