BUKIT KATIL: Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan berlaku di enam negeri boleh mengoyangkan Kerajaan Madani yang mentadbir di peringkat Persekutuan sekarang.
Ketua Penerangan PAS Pusat, Ir Ts Khairil Nizam Khirudin berkata, walau pun kerajaan Persekutuan tidak berubah dengan keputusan PRN, namun ia mampu menggoyahkan PH-BN sekiranya kalah di negeri terlibat.
“Bila Negeri Sembilan kita menang, Selangor kita menang, Pulau Pinang kita menang dan tiga negeri di bawah PAS dapat dikekalkan, agak-agak apa yang akan berlaku kepada kerajaan Madani tak jatuh, tapi goyang.
“Tetapi bayangkan kalau mereka hanya boleh mentadbir secara surface, negeri-negeri lain semuanya di bawah PN? Itu adalah referendum rakyat untuk menolak mereka,” katanya ketika melancarkan Jentera Pilihan Raya PAS Melaka bagi membantu PRN Negeri Sembilan di Dewan Mualim Haji Wahid di Bukit Katil, hari ini. Turut hadir Pesuruhjaya PAS Melaka, Tuan Guru Zulkifli Ismail dan Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Kamarul Ridzuan Mohd Zain.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Jerantut berkata, situasi itu akan membuka ruang kepada perubahan kerajaan Persekutuan sekiranya Ahli-ahli Parlimen kerajaan mengosongkan kerusi mereka bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Kecil (PRK).
Kerana itu, menurut beliau, keputusan PRN di enam negeri adalah refleksi kepada Kerajaan Persekutuan yang didambakan oleh rakyat selepas Ogos hadapan.
Beliau turut menggesa petugas-petugas PAS Melaka bekerja keras membantu memenangkan calon PN di Negeri Sembilan sekiranya mahu melihat perubahan kerajaan Persekutuan selepas Ogos nanti.
“Kalau kita nak kerajaan berubah, kalau kita mahu kerajaan Madani diganti semula dengan kerajaan PN yang lebih stabil dan kukuh, kita wajib turun beramai-ramai ke Negeri Sembilan untuk memenangkan PN,” ujarnya.
Menurutnya juga jentera pilihan raya harus tahu asas gerak kerja kempen untuk mencapai kemenangan.
“Pengalaman saya dan rakan-rakan di peringkat PAS Pusat, kemenangan itu akan datang bukan semata-mata kerana optik itu, orang datang ceramah ramai-ramai, orang tengok Tiktok kita sampai satu juta, kita kata ‘dah selesai’.
“Pengalaman kami menguruskan pilihan raya, nak menang jentera kena kuat. Nak menang cawangan kena ada. Nak menang cawangan kena berfungsi. Sekarang hanya ada 60 hari sahaja lagi,” kata beliau.

Tambah Khairil, PAS Melaka sebagai Negeri Bantu harus berfikir bagaimana untuk turun ke kawasan-kawasan yang ditetapkan bagi memperkukuhkan jentera di peringkat cawangan-cawangan di Negeri Sembilan.
Kata beliau petugas hendaklah berusaha, untuk menarik anak-anak yang bekerja di luar daripada Negeri Sembilan balik ke kampung untuk mengundi,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 24/6/2023
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!