Kos guna tenaga boleh baharu mahal

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kos pelaburan yang tinggi merupakan antara faktor menyebabkan orang ramai kurang menggunakan tenaga lestari seperti solar di negara ini.

Senator Aknan Ehtook berkata, pulangan hasil pula mengambil masa antara lima hingga enam tahun menyumbang kepada faktor penggunaan tenaga solar tidak popular.

- Advertisement -

“Namun, kalau ada insentif atau kerajaan berusaha mengurangkan tempoh pulangan hasil, mungkin penggunaan tenaga boleh baharu menjadi lebih menarik,” katanya membahaskan Rang Undang-Undang Tenaga Boleh Baharu (Pindaan) 2023 di Dewan Negara, hari ini.

Beliau mencadangkan kerajaan mengambil pendekatan seperti melakukan kadar beli balik pemeteran elektrik bersih yang berpotensi menarik minat orang ramai untuk menyertai skim penggunaan tenaga boleh baharu seperti dianjurkan Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA).

Sementara itu, katanya hampir 10,000 sekolah menghadapi masalah kewangan untuk memasang pendingin hawa seperti di bilik guru.

“Apabila musim panas seperti sekarang, guru menjadi gelisah kerana tak ada pendingin hawa, Sekolah pula beri alasan tidak cukup duit untuk bayar bil.

“Jadi apakah kita boleh menggunakan bumbung di sekolah ini untuk mendapatkan sumber tenaga yang lebih murah (melalui tenaga solar) dengan bantuan pihak lain seperti Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG),” katanya. – HARAKAHDAILY 22/6/2023

- Advertisement -