Lesen premis urut, refleksologi langgar syarat tidak diperbaharui

Dato' Seri Muhammad Sanusi Md Nor
- Advertisement -

ALOR SETAR: Kerajaan negeri tidak teragak-agak menutup serta tidak memperbaharui lesen rumah urut dan refleksologi di Kedah sekiranya terbukti menjalankan aktiviti lain selain yang dibenarkan.

- Advertisement -

Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, pihaknya akan menutup premis berkenaan melalui peruntukan undang-undang sedia ada.

Menurutnya, mesyuarat bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Imigresen telah diadakan beberapa kali berikutan laporan diterima terdapat premis urut kaki refleksologi menjalankan kegiatan lain.

“Jika pemantauan diadakan mendapati premis terbabit melakukan kegiatan selain yang dibenarkan, lesen terbabit tidak akan disambung dan premisnya akan ditutup,” jelasnya.

Muhammad Sanusi berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di Wisma Darul Aman, hari ini.

Peraturan dan undang-undang berkenaan, katanya akan berkuatkuasa walaupun Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan memandangkan ketetapan dan keputusan tersebut telah dibuat.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pendidikan dan Sumber Manusia negeri, Dato’ Mohd Najmi Ahmad berkata, operasi bersepadu terhadap premis-premis berkenaan telah dilakukan pada 17 Jun lalu.

Katanya, operasi membabitkan anggota PDRM, PBT, Imigresen dan Jabatan Agama menggempur rumah-rumah urut kaki refleksologi sekitar daerah Kota Setar berikutan terdapat laporan aktiviti sumbang dan tidak bermoral dilakukan di sebalik lesen premis berkenaan.

“Kita menerima laporan terdapat aktiviti tidak bermoral di rumah-rumah urut kaki ini.

“Walaupun pada serbuan ini aktiviti tersebut tidak ditemui namun cara susun atur peralatan di premis berkenaan membuktikan terdapat kegiatan lain selain yang dibenarkan,” ujar beliau.

Lebih membimbangkan kata Najmi, dilaporkan kebanyakan pengunjung yang hadir ke rumah urut berkenaan adalah dari kalangan belia dan pelajar sekolah.

Tambahnya, pada serbuan Sabtu lalu, seorang warganegara asing didapati tiada mempunyai pas kerja dan diserahkan kepada pihak Imigresen.

“Kalau tutup premis inipun bagi saya tidak mengakibatkan apa-apa kerugian kepada kerajaan negeri.

“Kebanyakan pekerja di premis itu warga asing. Tak untung mana pun.Lebih baiklah keuntungan kerajaan negeri diperolehi dengan cara lebih berkat,” ujar beliau. – HARAKAHDAILY 21/6/2023

- Advertisement -