Kelantan kaya lokasi pelancongan menarik

Senator Mohd Apandi Mohamad
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta memberi tumpuan terhadap sektor pelancongan di Kelantan yang mempunyai banyak lokasi indah serta keaslian alam sekitar yang belum diterokai.

- Advertisement -

Senator Mohd Apandi Mohamad berkata, sektor pelancongan di Kelantan semakin berkembang menerusi kerjasama erat antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri.

Katanya, beberapa lokasi pelancongan di negeri itu, terutama di Jajahan Jeli mampu menjadi daya penarik bagi pengunjung dalam dan luar negara.

“Apakah bentuk program dan bantuan kewangan yang kerajaan tawarkan untuk membantu memperkenalkan destinasi pelancongan alam semula jadi di Kelantan, terutama di Jeli.

“Di sana terdapat lokasi pelancongan menarik seperti air terjun, sungai yang jernih, terowong lama komunis dan terowong perlombongan emas,” katanya ketika sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Negara, hari ini.

Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Khairul Firdaus Akbar Khan, menjelaskan kementerian merangka banyak aktiviti mempromosikan Kelantan dan Jeli sebagai destinasi pelancongan.

Beliau berkata, ini termasuk seperti promosi pakej `Rain Forest Dabong’ melalui pengembaraan lasak dan alam semula jadi serta program Kayuhan Muhibbah Thailand-Malaysia.

Malah dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) sehingga RMK12, katanya kementerian meluluskan kira-kira RM7 juta bagi melaksanakan 39 projek pelancongan di Kelantan.

Beliau berkata, kementerian sentiasa terbuka untuk menerima permohonan dari kerajaan negeri melalui Unit Perancang Ekonomi Negeri (Upen) bagi pembangunan sektor pelancongan.

“Ini termasuk RM150,000 di bawah program pemerkasaan pelancongan kebudayaan dan warisan 2022 bagi menaik taraf kemudahan pelancongan di Kolam Air Panas Jeli.

“Kita sedia untuk mempertimbangkan sebarang permohonan produk baru selaras hala tuju kementerian serta keutamaan negeri melalui Upen bagi membantu meningkat kemudahan pelancongan,” katanya. – HARAKAHDAILY 20/6/2023

- Advertisement -