Umno perlu ‘reality check’ dan berhenti berkhayal

- Advertisement -

SETIAUSAHA Eksekutif Majlis Ulamak Umno Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali menafikan kenyataan Setiausaha PAS Selangor Haji Roslan Shahrir, bahawa PERIKATAN NASIONAL akan menang 30 kerusi di Selangor dan menyifatkan ia sebagai saraf sahaja. 

Dalam hal ini, Umno perlukan ‘reality check‘. Umno sudah lama hanyut dan hilang pegangan apabila memilih untuk bersama DAP dan Anwar. Keputusan ini bertentangan dengan janji kepada ahli Umno melalui Perhimpunan Agung Umno 2020 bahawa ‘No Anwar, No DAP’. Apatah lagi Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution mengesahkan perbincangan antara Umno dan Anwar telah bermula sebelum PRU15. Jelas ahli dan pengundi Umno telah dikhianati.

Tindakan ini juga menyebabkan kekecewaan yang tidak terhingga dihati ahli dan penyokong Umno. Ramai ahli Umno yang bertindak keluar parti. Ahli Umno yang masih kekal bersama Umno pula, berjanji akan mengundi PN bagi mengajar kepimpinan Umno dalam Pilihan Raya Negeri nanti. 

Kerajaan Madani juga gagal mempertahankan kalimah Allah apabila Menteri Dalam Negeri telah menarik semula rayuan kerajaan dalam kes di mahkamah. Pengundi Melayu melihat ini satu kelemahan Kerajaan Madani yang gagal mempertahankan kesucian Islam. 

Selain itu, kegagalan PH menunaikan janji pilihan raya dan kenaikan kos sara hidup membebankan golongan M40 dan B40 yang rata-ratanya adalah pengundi Melayu, juga akan menyebabkan berlaku peralihan undi Melayu. Faktor ‘Abah’ merujuk kepada zaman Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri, yang banyak memberikan bantuan dan peruntukan kepada rakyat ketika zaman COVID-19 sudah tentu akan memberi kesan kepada sokongan pengundi Melayu. 

Umno perlu sedar dalam PRU15, mereka hanya mendapat 33 peratus sahaja undi daripada pengundi Melayu. PH pula hanya mendapat 11 peratus daripada pengundi Melayu. Adapun PN mendapat 54 peratus daripada pengundi Melayu. 

Atas sebab yang saya nyatakan di atas, saya menjangkakan akan berlaku peralihan undi Melayu yang ketara dari Umno kepada PN. Pengundi Melayu teras Umno dijangka berkurangan dan swing pengundi Melayu kepada PN dijangkakan akan berlaku sehingga 70 peratus – 75 peratus. 

Dengan swing ini, kerusi-kerusi yang mempunyai pengundi Melayu sebanyak 60 peratus dan keatas sudah tentu akan menjadi milik PN dalam Pilihan Raya Negeri akan datang. Oleh itu, 30 kerusi bukan sahaja lojik, malah saya menjangkakan PN bakal mendapat lebih daripada itu. 

Oleh sebab itulah saya merasakan kepimpinan Umno perlu kepada ‘reality check‘ dan perlu berhenti berkhayal. Mereka perlu sedar Umno berada dalam keadaan yang sangat lemah. Bergantung sepenuhnya kepada pengundi cina dan sokongan DAP merupakan satu penghinaan kepada Umno dan sejarah perjuangan mereka. Kalau PAN dilihat sebagai balaci DAP. Apa beza Umno dengan PAN? 

NURUL ISLAM MOHAMED YUSOFF – HARAKAHDAILY 19/6/2023

Sumber Asal: https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=pfbid0gqqbYPnEe7h2RWHKrBXwWWdvgvQCZJLMHVDs8fwHnsuTHjUsorYJZtCgrp4nHcfEl&id=650875906&mibextid=Nif5oz

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -
- Advertisement -