Siap fasiliti sebelum SUKMA dianjur di Kelantan 2028

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) meluluskan dana sebanyak RM500,000 untuk penganjuran sukan komuniti di Kelantan daripada RM20 juta yang diluluskan Kementerian Kewangan (MoF) untuk mempergiatkan sukan dalam komuniti di seluruh negara.

- Advertisement -

Menterinya, Hannah Yeoh berkata, mana-mana pertubuhan belia atau badan bukan kerajaan (NGO) yang layak boleh memohon untuk mendapatkan dana berkenaan.

“Kementerian telah meluluskan sebanyak RM500,000 untuk dibelanjakan dan diharap ia dapat digunakan sebaik mungkin untuk aktiviti sukan komuniti.

“Oleh itu, saya berharap dengan suntikan dana tersebut mana-mana persatuan akan dapat meningkatkan dua kali ganda jumlah ahli persatuan masing-masing,” katanya selepas pelancaran Hari Belia Negara peringkat Negeri Kelantan di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO Negeri Kelantan, Wan Roslan Wan Hamat.

Dalam perkembangan lain, Hannah berkata, penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) di Kelantan dianjak ke 2028 bagi memastikan pembinaan stadium baharu di Bukit Merbau dapat disiapkan.

Katanya, selepas penganjuran temasya itu dianjakkan, SUKMA 2024 akan berlangsung di Sarawak dan seterusnya 2026 di Kuala Lumpur sebelum ke Kelantan dua tahun kemudian.

“Kita telah jadualkan SUKMA di Kelantan pada 2028 untuk memastikan infrastruktur dan fasiliti sukan dapat disiapkan sebelum temasya itu berlangsung.

“Jadi ia tidak ada masalah untuk diajakkan, tambahan lagi SUKMA akan melibatkan banyak jenis sukan yang memerlukan pelbagai fasiliti,” katanya.

Sebelum ini Wan Roslan memberitahu kerja-kerja tanah pembinaan kompleks sukan di Bukit Merbau Pasir Puteh sudah dilaksanakan. – HARAKAHDAILY 18/6/2023

- Advertisement -