Apabila mahasiswa dilalaikan dengan hiburan

- Advertisement -

KEGILAAN untuk berkonsert dalam kampus adalah satu petanda jangkitan dalam benak jiwa mahasiswa kita.

Apabila berhibur dengan cara ini dilihat sebagai ‘sporting’ , tidak apa dan terbuka. Padahal ia petanda bahawa kampus sebagai gedung ilmu tidak lagi dihormati oleh warganya sendiri.

Tempat berlabuhnya ribuan kitab dan kajian akademik, penyelidikan dan perbahasan ilmu berjalan hari demi hari tidak boleh menerima layanan sama seperti alam luar sana. Meskipun kedengaran ‘holier than thou’ tetapi itulah hakikatnya. Ilmu wajar dihormati. 

Dari awal kemerdekaan lagi kampus dan universiti cuba dirodok dengan amalan hiburan kosong seperti ini. Ada beberapa yang berjaya tembus masuk ke kampus.

Tahun lepas kita disajikan dengan konsert Bunkface di sebuah kampus Islam di Gombak. Ramai alumni bising, MPP kampus itu pula pada awalnya menafikan tetapi akhirnya mengakui bahawa mereka luluskan konsert itu.

Kemudian hari ini tular pula konsert entah apa pula tular di Negeri Pantai Timur. Macam mat rempit dah aku tengok budak-budak ni.

Itulah masalah konsert. Lagu-lagu yang dimainkan menzahirkan sifat kebodohan kau. Dengan yang perempuan bertempik dan berliuk lentik macam tak ada agama. Yang lelaki pula rasa cool bila boleh jerit-jerit. 

Nak buat benda macam ni buat dekat luarlah. Mengapa harus kau kotori dunia keilmuan yang suci ini?

Sudah tentu ada banyak lagi kampus yang aku terlepas untuk aku petik sebagai contoh. Tetapi mesej yang aku ingin tekankan adalah semakin terhakisnya rasa hormat mahasiswa dan penuntut ilmu kepada kampus. Kau nak berhibur kau pergi kelab malam, bukan dewan universiti.

Salah siapa? Entahlah. Tetapi kita tahu ada sekelompok makhluk yang suka mahasiswa diperbodohkan. Dilatihnya mahasiswa menjadi anjing-anjing mereka. Diisinya minggu orientasi dengan hiburan berjoget dan segala pengisian kosong. Perkara penting tidak pula diajar.

Perwakilan Pelajar akan dilatih menjadi balaci utama mereka. Dan mereka sehingga kini masih berkuasa, berterusan memperbodohkan mahasiswa.

Mahasiswa sekarang pula, keliling kau orang semuanya hiburan kosong. Sumber Dopamine tersedia di mana-mana sahaja. Sudah tentu kau orang lagi suka benda menyeronokkan. Mana best buat benda berat macam diskusi buku dan idea-idea besar.

Mana best fikirkan cara dan program apa untuk bantu komuniti sekitar kampus kau. Kau orang sudah lupa apa makna sebenar mahasiswa.

Kalau dulu adalah budak-budak Islamis akan bersuara dan melawan kebodohan dan penghinaan seperti ini. Tetapi sekarang entahlah, budak-budak masjid ni pun dua kali lima saja dengan mahasiswa yang dah dibodohkan akal. Semua diam.

SULAIMAN AKHLAKEN
Projek Anak Muda Islam (PAMI) – HARAKAHDAILY 15/6/2023

- Advertisement -
- Advertisement -