Kelantan: Dari dekad pembaharuan kepada model negeri ideal

Ustaz Zulkarnain Hassan
- Advertisement -

SESI pertama kertas kerja pada Seminar Pemikiran Dakwah Tok Guru Nik Aziz yang diadakan di Pusat Tarbiah Islam Kelantan pada 8 Jun lalu dibentang oleh Ustaz Zulkarnain Hassan.

- Advertisement -

Sedikit catatan ringkas yang sempat saya buat:

Tok Guru Nik Aziz mentadbir Kelantan selama 23 tahun, sama tempoh Nabi SAW memerintah Madinah. Ia disambung dengan tema Merakyat Membangun Bersama Islam oleh Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yaakob.

Konsep fiqh awlawiyat diterap oleh Tok Guru dalam pentadbiran Kerajaan Kelantan. Tok Guru Nik Aziz pernah sebut: Ilmu secupak berhajat kepada hikmah segantang. Kata-kata ini kelihatan ringkas tetapi mempunyai makna yang sangat mendalam.

Ustaz Fadzil Noor, Presiden PAS pernah menyebut:

العلم بلا وعي جمود والوعي بلاعلم فجور

“Ilmu tanpa kesedaran adalah jumud/statik. Kesedaran tanpa ilmu adalah fujur/jadi jahat.”

Tok Guru mempraktikkan fiqh awlawiyat dalam pemerintahannya.

Kita melihat sekali lalu iaitu selama empat dekad: Tahun 1990-2000, 2000-2010, 2010-2020, 2020-2030.

Secara ringkasnya:

1990-2000: Dekad pembaharuan berdasarkan Islam

2000-2010: Dekad mengukuhkan dasar Islam

2010-2020: Dekad merakyatkan dasar kerajaan

2020-2030: Dekad mewujudkan model negeri yang ideal

Aplikasi fiqh awlawiyat dalam pentadbiran Kerajaan Kelantan:

1) Utamakan perintah agama – kemukakan konsep dan tema ubudiyah/mas’uliyyah/itqan, membebaskan kerajaan dari unsur riba, pinjaman tanpa riba, mewujudkan dasar rumah tiga bilik, menggubal Enakmen Kanun Jenayah Syariah 2, mengawal hiburan, mengharamkan arak dan judi. Dari sudut pembangunan insan, mengukuhkan dasar Membangun Bersama Islam.

2) Membina Maahad Dakwah wal-Imamah, beralih kepada KIAS, menjadi universiti, memperkasa sektor pendidikan, memfokus kepada pendidikan rabbani, mewujudkan komuniti rabbani. Ini merujuk kaedah fiqh awlawiyat iaitu mendahulukan perkara paling penting untuk membina insan dan ummah.

3) Mengukuhkan dasar Membangun Bersama Islam. Telah dikumpulkan dalam e-book semua dasar kerajaan Kelantan yang dibuat seperti dasar kesejahteraan rakyat, dasar wanita, dasar belia, dasar lelaki qawwam, dasar OKU dan lain-lain. Menurut fiqh awlawiyat, ini mendahulukan maslahah ammah/kepentingan umum dari maslahah khassah/kepentingan peribadi.

4) Mendahulukan kebajikan rakyat. Contohnya, membangunkan bandar baru, membina lebuh raya rakyat, memberi cuti kerja dua hari seminggu, cuti bersalin, cuti ihdad/berkabung, rumah ad-duafaa dan lain-lain. Menurut fiqh awlawiyat, ia termasuk dalam kaedah:

تصرف الامام بالرعية منوط بالمصلحة

“Tindakan pemerintah berkaitan rakyat tertakluk kepada kepentingan rakyat.”

5) Mengutamakan hubungan dengan Allah. Kerajaan Kelantan jadikan Rejab bulan solat. Tok Guru sendiri tidak pernah lekang menyebut tentang halal haram, dosa pahala dalam ucapannya dalam pelbagai majlis. Kesannya ialah tiada wakil rakyat Kelantan yang disabitkan rasuah. Ini satu kejayaan besar buat kerajaan PAS Kelantan.

6) Menolak kemudaratan. Dalam isu kanun jenayah syariah, kita cuba laksanakan tetapi kerajaan pusat ketika itu menahan dan cuba menghalang kerajaan negeri Kelantan dari meneruskan usaha menegakkan syariat. Tok Guru buat perbandingan seperti kereta berhenti di lampu merah. Enjin tidak dimatikan, tetapi brek ditekan. Apabila lampu hijau, kereta boleh berjalan. Menurut kaedah fiqh:

دَرْء المفاسدِ مُقدَّمٌ على جلْبِ المصالحِ.

“Menolak kemudaratan didahulukan dari menarik kebaikan.”

Ini dibuat supaya tidak berlaku Mageran di mana kerajaan boleh jatuh. Oleh itu Kerajaan Negeri Kelantan fokus dengan membuat perkara yang lain dahulu.

Pembentangan di atas dikupas oleh Dato’ Hassan Mahamood.

Di antara isi kandungan ucapan beliau ialah seperti berikut:

Dasar Membangun Bersama Islam digagaskan oleh Tok Guru pada tahun 1990.

Pada tahun 1959, kerajaan PAS berusaha membasmi maksiat yang banyak di Kelantan sebelum itu.

PAS kalah pada tahun 1978. Kemudian kembali mentadbir Kelantan pada tahun 1990. Kita mengurus, menjaga, mentadbir Kelantan berdasarkan al-Quran, sunnah, ijmak dan qias.

Antaranya Tok Guru menarik duit kerajaan dari bank berasaskan riba.

Dari sudut kebudayaan misalnya, dibuang unsur khurafat dalam pelbagai persembahan kebudayaan.

Tok Guru pernah sebut: Jangan serabut dengan kaum dan bangsa yang ramai dalam Malaysia. Tok Guru membaca ayat:

يٰٓاَيُّهَا النَّاسُ اِنَّا خَلَقْنٰكُمْ مِّنْ ذَكَرٍ وَّاُنْثٰى وَجَعَلْنٰكُمْ شُعُوْبًا وَّقَبَاۤىِٕلَ لِتَعَارَفُوْا ۚ اِنَّ اَكْرَمَكُمْ عِنْدَ اللّٰهِ اَتْقٰىكُمْ ۗاِنَّ اللّٰهَ عَلِيْمٌ خَبِيْرٌ

Maksudnya: Wahai manusia! Sesungguhnya Kami (Allah) telah menciptakan kamu dari seorang lelaki dan seorang perempuan, kemudian Kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku agar kamu saling mengenal. Sesungguhnya yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, Maha Teliti. (Al-Hujurat: 13)

Non-Muslim terutama di Kelantan menerima baik dasar Membangun Bersama Islam Kelantan. Mereka hidup rukun dan aman di Kelantan yang menunjukkan PAS tidak bertembung dan menindas kaum selain Melayu.

Prof Emeritus Dr Abdul Aziz Mohd Zin

Kertas kerja kedua adalah Pemikiran Dakwah Tok Guru dan Pelaksanaannya di Kelantan oleh Prof Emeritus Dr Abdul Aziz Mohd Zin.

Saya catat beberapa isi penting.

Pemikiran dakwah Tok Guru sedang dibuat kajian secara menyeluruh.

Cerita: Tok Guru beri kuliah di Masjid Muhammadi pada tahun 1967, setiap Selasa malam Rabu. Saya belajar di sekolah ketika itu. Tok Guru mengajar dengan bahasa yang mudah difahami. Hari perpisahan Tok Guru dari Maahad Muhammadi untuk masuk bidang politik. Semua berhimpun. Ramai yang menangis kerana nak berpisah dengan Ustaz Nik Aziz.

Saya tinggal di Tumpat. Ada masyarakat Siam di Kampung Tuwa. Orang Siam di situ tidak ramai masuk Islam. Tugas kita ialah terus berdakwah kepada mereka.

Orang Asli yang ada di perkampungan orang Melayu lebih sukar masuk Islam dari Orang Asli yang berada di pedalaman. Ini kerana mereka melihat akhlak tidak baik orang Melayu.

Bagaimana nak pengaruhi orang supaya terima Islam. Ia bukan sekadar ajak biasa.

Dalam sejarah, Tok Janggut pernah kritik sedikit sahaja tentang cukai yang dibuat oleh kerajaan penjajah ketika itu. Lihat apa jadi dengan mayatnya. Tidak ramai ulama yang masuk bidang politik.

Keistimewaan Tok Guru:

i) Fahami Islam secara syumul – aqidah, ibadah, muamalah, jenayah, peribadi, keluarga, masyarakat, negeri, negara

ii) Jadikan al-Quran dan Sunnah sebagai pegangan

iii) Beri alasan terhadap sesuatu yang dikemukakan

iv) Kefahaman dan penghayatan seimbang

v) Berani berhujah

vi) Warak melalui contoh teladan

vii) Usaha hayati dalam hidup apa yang terdapat dalam Islam secara syumul.

Ulasan kertas kerja kedua dibuat oleh Prof Madya Dr Nik Yusri Musa, pensyarah universiti yang juga menantu Tok Guru.

Sedikit catatan yang saya buat.

Dimulakan dengan ayat al-Quran:

قُلْ هٰذِهٖ سَبِيْلِيْٓ اَدْعُوْٓا اِلَى اللّٰهِ ۗعَلٰى بَصِيْرَةٍ اَنَا۠ وَمَنِ اتَّبَعَنِيْ ۗوَسُبْحٰنَ اللّٰهِ وَمَآ اَنَا۠ مِنَ الْمُشْرِكِيْنَ

Maksudnya: Katakanlah (wahai Muhammad!), “Inilah jalanku, aku dan orang yang mengikutiku mengajak (kamu) kepada Allah dengan yakin, Maha suci Allah, dan aku tidak termasuk di kalangan orang musyrik. (Yusof: 108)

Tok Guru adalah milik ummah. Masa Tok Guru bersama ummah lebih banyak daripada masanya bersama keluarga. Legasinya ialah untuk letak ummah pada tempatnya. Teras pemikiran Tok Guru adalah al-Quran dan Sunnah. Contoh Pak Natsir, Hamka di Indonesia. Mereka adalah sarjana Islam yang membentuk pemikiran ummah di sana. Kita bersyukur kerana kita sempat dengan almarhum Tok Guru.

لَقَدْ مَنَّ اللّٰهُ عَلَى الْمُؤْمِنِيْنَ اِذْ بَعَثَ فِيْهِمْ رَسُوْلًا مِّنْ اَنْفُسِهِمْ يَتْلُوْا عَلَيْهِمْ اٰيٰتِهٖ وَيُزَكِّيْهِمْ وَيُعَلِّمُهُمُ الْكِتٰبَ وَالْحِكْمَةَۚ وَاِنْ كَانُوْا مِنْ قَبْلُ لَفِيْ ضَلٰلٍ مُّبِيْنٍ

Maksudnya: Sesungguhnya Allah telah mengurniakan kepada orang beriman ketika (Allah) mengutus seorang rasul (Muhammad) di tengah-tengah mereka dari kalangan mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayatNya, menyucikan (jiwa) mereka, dan mengajarkan kepada mereka kitab (Al-Qur’an) dan hikmah (Sunnah), meskipun sebelumnya, mereka benar-benar dalam kesesatan yang nyata. (Aali Imran: 164)

Dakwah merangkumi beberapa perkara. Adakah Tok Guru beramal dengan perkara-perkara tersebut?

Dakwah:

i) terasnya tauhid. Tok Guru ajak rakyat kepada tauhid

ii) beriman kepada hari akhirat

iii) menyucikan jiwa masyarakat dari perkara keji

iv) mengajak kepada yang baik, mencegah perkara mungkar

Tok Guru melaksanakan perkara-perkara di atas.

يٰٓاَيُّهَا الْمُدَّثِّرُۙ قُمْ فَاَنْذِرْ وَرَبَّكَ فَكَبِّرْۖ وَثِيَابَكَ فَطَهِّرْۖ وَالرُّجْزَ فَاهْجُرْۖ وَلَا تَمْنُنْ تَسْتَكْثِرُۖ وَلِرَبِّكَ فَاصْبِرْۗ

Maksudnya: “Wahai orang yang berselimut! Bangunlah, lalu berilah peringatan! dan agungkanlah Tuhanmu, dan bersihkanlah pakaianmu, dan tinggalkanlah segala (perbuatan) yang keji, dan janganlah engkau (Muhammad) memberi (dengan maksud) memperoleh (balasan) yang lebih banyak. Dan kerana Tuhanmu, bersabarlah.” (Al-Muddatthir: 1-6)

Ayat ini dianggap punca kuasa kepada kita untuk menjelaskan apa itu dakwah iaitu beriman kepada Allah, mentauhidkan Allah, membesarkan Allah dan membersihkan diri.

Tok Guru biasanya memulakan ceramahnya dengan ayat al-Quran, membuktikan bahawa asas sesuatu perbuatan itu ada dalam al-Quran.

Tok Guru pernah tulis sebuah buku – tidak pasti dicetak atau tidak – tajuknya Mengapa Saya Tidak Menganut Kristian.

Ruangan Mauizah Hasanah dalam Harakahdaily ditulis oleh Ustaz Mashhudi, Sungai Penchala melalui rakaman ceramah Tok Guru.

Tok Guru pernah tulis surat kepada Nga Kor Ming ketika dalam Pakatan Rakyat (PR) dahulu supaya kaji Islam. Ini menunjukkan mereka yang mahu dekati DAP mesti berdakwah kepada mereka, bukan khadam mereka. PAS telah berdakwah kepada mereka.

Tok Guru tidak retorik. Dia bercakap, dan laksana apa yang dicakap.

Tok Guru pastikan tiada aktiviti yang bercanggah dengan Islam dalam kerajaan.

Tok Guru sebut perjuangan ini untuk mendapat reda Allah, walaupun dibenci oleh manusia.

Islam itu Diin wa Daulah. Dibawa dan diuar-uar kepada rakyat.

Pertembungan kaum muda dan tua perlu ditumpulkan. Ia merugikan umat Islam. Tok Guru cuba elakkan pertembungan ini.

الفتنةُ نائمةٌ لعن اللهُ من أيقظها

“Fitnah itu tidur. Allah melaknat orang yang mengejutkannya.”

Tok Guru berjaya menonjolkan Islam yang syumul dalam diri dan pentadbiran Kerajaan Kelantan.

NIK MUHAMMAD NASRI NIK MALEK
Pegawai Khas (Agama) Pejabat Menteri Besar Terengganu
AJK Dewan Ulamak PAS Terengganu – HARAKAHDAILY 10/6/2023

- Advertisement -