ALOR SETAR: Menteri Besar Kedah memberitahu beliau memberi kerjasama penuh terhadap siasatan pegawai polis berkaitan kenyataannya mengenai tiada sempadan Pulau Pinang dan Kedah.
Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, siasatan itu menjurus kepada kenyataan medianya selepas majlis menandatangani perjanjian darat antara Kedah dan Perlis baru-baru ini.
Katanya, kenyataan itu dibuat berdasar dokumen dan sandaran yang ada.
“Isu pajakan Pulau Pinang adalah berdasar perjanjian pajakan Pulau Pinang dan perlembagaan negara,” katanya selepas memberi keterangan kepada pegawai polis di Wisma Darul Aman hari ini.
Ketika majlis menandatangi persempadanan laut dan darat antara Kedah dan Perlis baru-baru ini Sanusi memberitahu negeri itu tiada sempadan dengan Pulau Pinang dengan mengambil kira sejarah ia milik Kedah.
Sanusi juga berkata, pihak polis hanya menanyakan lima soalan sahaja berkaitan dengan kenyataannya sebelum ini.
Ditanya wartawan tempoh masa keterangan itu diambil kata beliau tidak pasti secara tepat.
“Semua orang tahu saya orang baik, jadi polis tidak tanya banyak soalan. Apa yang disebut Lim Guan Eng di parlimen semalam saya tidak sebut.
“Saya tidak sebut apa yang Guan Eng kata. Kalau hendak tahu pergilah tanya depa,” katanya.
Sanusi juga berkata, naratif tersebut dimainkan DAP yang dianggap untuk menakut-nakutkan rakyat negeri itu terutamanya orang Cina kononnya kalau parti itu kalah, Pulau Pinang akan diambil Kedah. – HARAKAHDAILY 7/6/2023