Debaran pilihan raya Presiden Turkiye pusingan kedua

- Advertisement -

SEKALI lagi situasi politik di Turkiye menjadi perhatian politik Dunia Islam apabila pilihan raya Presiden Turkiye yang diadakan pada 14 Mei 2023 lalu tidak dapat memutuskan siapakah calon yang menang seterusnya memimpin Turkiye untuk tempoh lima tahun akan datang.

- Advertisement -

Sistem pilihan raya Presiden Turkiye menetapkan bahawa jika tiada seorang pun calon yang mendapat undi melebihi daripada 50 peratus untuk dipilih sebagai pemenang pilihan raya presiden, maka hendaklah diadakan pengundian pusingan kedua untuk pilihan raya presiden.

Keputusan pengundian pusingan pertama baru-baru ini menyaksikan Recep Tayyib Erdogan daripada Perikatan Rakyat mendapat undi sebanyak 49.51 peratus diikuti rapat oleh pencabar terdekatnya Kemal Kiricdaroglu daripada Perikatan Negara yang mendapat undi sebanyak 44.88 peratus. Adapun dua orang lagi calon iaitu Sinan Ogan hanya mendapat undi sebanyak 5.17 peratus manakala Muharrem Ince menarik diri daripada pencalonan di saat-saat akhir.

Daripada keputusan di atas, calon-calon yang tidak layak untuk menyertai pilihanraya pusingan kedua menjadi perhatian kerana faktor sokongan atau undi penyokong mereka yang bakal memihak samada kepada Erdogan atau Kemal.

Sehingga hari ini, berdasarkan kepada kajian dan perkembangan semasa, Erdogan masih lagi berada di hadapan berasaskan kepada dua faktor utama. Pertama, kemenangan gabungan Perikatan Rakyat pimpinannya yang mendapat majoriti terbanyak di parlimen berbanding Perikatan Negara.

Kedua, sokongan Sinan Ogan kepada Erdogan untuk pilihan raya pusingan kedua. Maka dengan sokongan ini, pada asasnya Erdogan telah mendapat majoriti iaitu dengan mengambil kira 5.17 peratus undi yang diperolehi oleh Sinan Ogan yang akan berpihak kepada Erdogan.

Penganalisis politik, Ali Darbaj, dalam komentarnya yang disiarkan oleh almayadeen.net merumuskan isu agama dan nasionalisme menjadi dua faktor utama kelebihan Erdogan berbanding calon saingannya. Walaupun kepimpinannya mendapat tentangan dari kawan dan lawan namun beliau berjaya menarik sokongan daripada kelompok agamawan dan nasionalis melalui pelbagai pembaharuan yang dilakukan seperti memajukan industri pertahanan Turkiye yang tidak bergantung kepada mana-mana kuasa dan mengembalikan semula fungsi Ayasofia sebagai sebuah masjid, bukan lagi muzium sebagaimana di zaman Kamal Ataturk.

Kesannya dapat dilihat apabila salah satu kumpulan Islam terbesar Turkiye iaitu Milliguroush yang diasaskan oleh almarhum Prof. Nejmeddin Erbakan berbelah bagi pada pilihan raya kali ini. Sebahagian besar undi parti Saadat pada pilihan raya 2018 beralih kepada parti Refah Baharu yang ditubuhkan Fateh Erbakan dengan memenangi sebanyak 6 kerusi parlimen.

Dalam artikel lepas yang dikeluarkan pada 10 Mei lalu saya menghuraikan kepentingan pilihan raya kali ini bukan sahaja kepada politik Turkiye bahkan juga kepada Dunia Islam kerana kepentingan Turkiye untuk masa hadapan Dunia Islam khususnya bagi mengimbangi pertembungan kuasa yang berlaku antara Barat dan Rusia serta kebangkitan kuasa-kuasa baharu yang bakal melakar semula peta dunia pada era ini khususnya China, India dan lain-lain lagi. 

Justeru tidak pelik apabila negara-negara kuasa besar memberi perhatian serius kepada pilihan raya Turkiye kali ini. Media Barat daripada awal lagi membuat pelbagai spekulasi negatif terhadap kepimpinan Erdogan, dalam masa yang sama membuat propaganda menyokong Kemal Kiricdaroglu dengan meletakkan harapan tinggi agar gabungan parti pembangkang dapat mengalahkan Erdogan.

Manakala Rusia pula lebih cenderung kepada Erdogan kerana mempunyai beberapa kepentingan bersama seperti penyelesaian di Syria dan perang di Ukraine. 

Isu ekonomi dan pelarian Syria menjadi topik utama yang bakal menentukan keputusan pilihan raya Presiden Turkiye pada 28 Mei nanti. Kemal Kiricdaroglu meletakkan kedua-dua isu ini sebagai penanda aras kegagalan Erdogan memimpin Turkiye.

Dalam isu ekonomi, kejatuhan nilai Lira yang berlarutan serta peratus pengangguran dan kos sara hidup yang tinggi menjadi modal utama pihak pembangkang di samping isu kebanjiran jutaan pelarian Syria yang tidak dapat diselesaikan hingga menyebabkan masalah sosial yang begitu kronik.

Kedua-dua calon berjanji untuk menyelesaikan isu ini dengan pendekatan berbeza. Kemal berjanji jika sekiranya beliau dipilih sebagai presiden maka beliau akan mengeluarkan serta merta pelarian Syria supaya pulang ke negara asal mereka.

Manakala Erdogan pula mengambil pendekatan yang lebih lunak dengan mempertahankan isu pelarian sebagai isu kemanusian dan berjanji untuk menyelesaikannya melalui jalan diplomasi dengan Syria, dalam masa yang sama terus mengekalkan tentera Turkiye di sempadan Syria bagi mengekang pengaruh puak pemisah Kurdistan yang didukung oleh Amerika Syarikat dan Barat.

Apa sahaja keputusan pilihanraya presiden Turkiye nanti tetap akan memberi kesan baik dan buruk kepada Dunia Islam. Mudah-mudahan Allah SWT memelihara Turkiye dan seluruh Dunia Islam dari perpecahan dan perancangan jahat musuh-musuh Islam samada daripada dalam mahupun luar.

“Malaysia Sejahtera”

YB DR. MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Pengerusi Lujnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Pusat
ADUN Batu Buruk – HARAKAHDAILY 27/5/2023

- Advertisement -