Kaisar hantar 200 lembu ke selatan setiap minggu

- Advertisement -

PADANG BESAR: Kumpulan Kaisar menghantar 200 ekor lembu ke negeri-negeri di selatan tanah air setiap minggu untuk memenuhi permintaan pengguna.

- Advertisement -

Begitu juga untuk tempahan bagi menyambut Hari Raya Korban tidak lama lagi sudah banyak diterima syarikat terbabit.

Kumpulan Kaisar mempunyai ladang fidlot di Thailand yang dimiliki Kaisar Agro Farm Thai Company Limited di Prachuap dan Narathiwat.

Pengarah Urusan Kumpulan Kaisar, Dato’ Sri Norazam Shah Ibrahim berkata,
bagi peringkat pertama iaitu lembu yang diimport September tahun lepas dipasar bagi menampung permintaan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.

“Untuk Hari Raya Aidiladha pula kita sudah mula menerima tempahan. InsyaAllah bekalan mencukupi.

“Ada pelanggan dari Johor, Perak, Kuala Lumpur dan Perlis,” katanya ketika ditemui di Ladang ternakan Kampung Mengkuang, Kubang Tiga, Chuping di sini hari ini.

Kaisar Farm kini semakin berkembang sejak ditubuhkan pada 30 Mac 2021. Tumpuannya untuk menjadi hub industri lembu pedaging Malaysia.

Norazam juga berkata, matlamat utama mereka menampung pasaran Malaysia dengan membekalkan lembu pedaging daripada pelbagai jenis baka lembu.

“InsyaAllah selepas Hari Raya Korban nanti kita akan berbincang dengan kerajaan negeri untuk membiakkan sendiri 1,000 hingga 2,000 ekor lembu tanpa perlu mengimport dari negara luar.

“Kita harap mendapat bantuan kerajaan negeri berkaitan tanah dan infrastruktur bagi menjayakan hasrat tersebut.

“Kaisar akan ada baka betina dan boleh membiakkan sendiri, jadi tidak perlu lagi import dari negara luar seperti Thailand dan Myanmar,” ujarnya.

Menurutnya juga ladang fidlot di selatan Thailand dapat membantu membekalkan daging halal di kawasan berdekatan.

Kata beliau Kaisar Farm turut menjalinkan hubungan dengan badan Islam di Australia dan memiliki syarikat di negara itu atas nama KKH International PTY LTD.

“Kami juga berhasrat untuk pembekalan sumber daging dari Australia untuk diimport dan dieksport ke negara-negara Islam lain,” katanya. – HARAKAHDAILY 25/5/2023

- Advertisement -