Liberalisme: Teori kebebasan yang menyesatkan manusia

- Advertisement -

IBLIS membebaskan (meliberalkan) diri

Apabila diteliti mengenai sejarah penyongsangan pemikiran manusia, ia bermula daripada kesesatan Iblis. Ada disebut di dalam Surah al Kahfi bahawa Iblis ingin membebaskan diri daripada arahan Tuhan;

- Advertisement -

وَإِذْ قُلْنَا لِلْمَلَائِكَةِ اسْجُدُوا لِآدَمَ فَسَجَدُوا إِلَّا إِبْلِيسَ كَانَ مِنَ الْجِنِّ فَفَسَقَ عَنْ أَمْرِ رَبِّهِ ۗ أَفَتَتَّخِذُونَهُ وَذُرِّيَّتَهُ أَوْلِيَاءَ مِن دُونِي وَهُمْ لَكُمْ عَدُوٌّ ۚ بِئْسَ لِلظَّالِمِينَ بَدَلً

“Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Kami berfirman kepada malaikat: “Sujudlah kamu kepada Adam”; lalu mereka sujud melainkan Iblis; ia adalah berasal dari golongan jin, lalu ia menderhaka terhadap perintah Tuhannya. Oleh itu, patutkah kamu hendak menjadikan Iblis dan keturunannya sebagai sahabat-sahabat karib yang menjadi pemimpin selain daripadaku? Sedang mereka itu ialah musuh bagi kamu. Amatlah buruknya bagi orang-orang yang zalim: pengganti yang mereka pilih itu.”

(al-Kahfi: 50)

Dari sini, Iblis berazam untuk menyesatkan manusia agar mengikut jejak langkahnya yang dianggap bebas daripada mana-mana arahan Tuhan.

قَالَ رَبِّ بِمَا أَغْوَيْتَنِي لَأُزَيِّنَنَّ لَهُمْ فِي الْأَرْضِ وَلَأُغْوِيَنَّهُمْ أَجْمَعِينَ (39) إِلَّا عِبَادَكَ مِنْهُمُ الْمُخْلَصِينَ (40)

“Iblis berkata: ” Wahai tuhanku! Kerana Engkau telah menjadikan daku sesat, (maka) demi sesungguhnya aku akan memperelokkan segala jenis maksiat kepada Adam dan zuriatnya di dunia ini, dan aku akan menyesatkan mereka semuanya, “Kecuali di antara zuriat-zuriat Adam itu hamba-hambaMu yang dibersihkan dari sebarang syirik”.”

(al-Hijr: 39-40)

Langkahan Iblis yang bertujuan menyongsangkan pemikiran manusia berdasarkan firmanNya;

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا لَا تَتَّبِعُوا خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ وَمَنْ يَتَّبِعْ خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ فَإِنَّهُ يَأْمُرُ بِالفَحْشَاءِ وَالمُنْكَرِ

“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu menurut jejak langkah syaitan; dan sesiapa yang menurut jejak langkah syaitan, maka sesungguhnya syaitan itu sentiasa menyuruh (pengikut-pengikutnya) melakukan perkara yang keji dan perbuatan yang mungkar.”

(an-Nur: 21)

Syaitan yang merupakan keturunan Iblis, akan mempromosi maksiat dan kemungkaran. Ia bertujuan supaya manusia itu terbebas daripada ketetapan Tuhan.

Liberalisme: Pembebasan daripada tuhan

Kemuncak bagi kemaksiatan dan kemungkaran ialah penyembahan selain daripada Allah S.W.T.

Apabila seseorang itu mula menyembah selain daripada Allah, di situlah kejayaan syaitan, selaras dengan pembebasan Iblis daripada arahan Tuhan.

Dalam pentakrifan Liberalisme, ahli falsafah Barat berselisih antara satu sama lain. Antara yang ditegaskan Edmund Fawcett menegaskan bahawa;

“liberals hoped for ethical order without appeal to divine authority”

Golongan liberal mengharapkan suatu tatanan etika tanpa perlu melibatkan autoriti tuhan. [1]

Atau dengan kata lain, untuk menjunjung penghormatan terhadap kebebasan individu (respect for people in their own right), tuhan atau agama tak boleh campur tangan. 

Di sini kita boleh lihat, teras kepada liberalisme itu ialah humanisme, yang ingin menjunjung hak sebagai seorang manusia. 

Dengan erti, manusia itu adalah segala-galanya, termasuk bebas menentukan hidup mereka sendiri.

Sebab itulah, apabila kita menilai pemikiran Iblis yang dirakamkan di dalam al-Quran, Iblis sangat menjunjung asal-usulnya yang disangka mulia sehingga enggan mengikut ketetapan Tuhan;

قَالَ مَا مَنَعَكَ أَلَّا تَسْجُدَ إِذْ أَمَرْتُكَ ۖ قَالَ أَنَا خَيْرٌ مِّنْهُ خَلَقْتَنِي مِن نَّارٍ وَخَلَقْتَهُ مِن طِينٍ

“Apakah penghalangnya yang menyekatmu daripada sujud ketika Aku perintahmu?” Iblis menjawab: “Aku lebih baik daripada Adam, Engkau (wahai Tuhan) jadikan daku dari api sedang dia Engkau jadikan dari tanah.”

(al A’raf: 12)

Disebabkan asal usulnya begitu, Iblis merasakan arahan Tuhan itu tidak selari dengan rasionalnya.

Mungkin boleh dikatakan, andai manusia itu menjunjung ‘kemanusiaan’ (humanisme), Iblis pula menjunjung ‘keiblisan’ (Iblisisme).

Dengan asal usulnya daripada api, yang dianggap lebih mulia dari tanah, maka Iblis merasa berhak membebaskan diri daripada terikat dengan ketetapan Tuhan.

Peranan Iblis menyesatkan kaum terawal

Dalam sejarah kenabian, Allah S.W.T telah merakamkan kesesatan Kaum Nabi Nuh A.S yang boleh diklasifikasikan sebagai antara kaum terawal

وَقَالُوا لَا تَذَرُنَّ آلِهَتَكُمْ وَلَا تَذَرُنَّ وَدًّا وَلَا سُوَاعًا وَلَا يَغُوثَ وَيَعُوقَ وَنَسْرًا

“Dan (ketua-ketua) mereka (menghasut dengan) berkata: “Jangan kamu meninggalkan (penyembahan) tuhan-tuhan kamu, terutama (penyembahan) Wadd, dan Suwaa’, dan Yaghuth, dan Ya’uuq, serta Nasr.”” 

(Nuh: 23)

Imam at Thabari menghuraikan mengenai kisah sembahan mereka yang dipengaruhi oleh Iblis;

كانوا قوما صالحين بين آدم ونوح وكان لهم أتباع يقتدون بهم ، فلما ماتوا قال أصحابهم الذين كانوا يقتدون بهم : لو صورناهم كان أشوق لنا إلى العبادة إذا ذكرناهم ، فصوروهم ، فلما ماتوا وجاء آخرون دب إليهم إبليس فقال : إنما كانوا يعبدونهم وبهم يسقون المطر ، فعبدوهم .

Sembahan-sembahan itu asalnya merupakan orang yang soleh, hidup di antara zaman Nabi Adam A.S dan Nabi Nuh A.S. Mereka ada pengikut masing-masing. 

Apabila mereka mati, pengikut mereka berkata: “Andai kita menjadikan gambarkan mereka (dalam bentuk patung) ia lebih menambahkan rindu untuk beribadat, apabila kita memperingati mereka”. 

Lalu mereka pun menggambarkannya (dalam bentuk patung). 

Apabila pengikut ini mati, datang golongan yang lain pula. Mereka dihasut oleh Iblis, lalu berkata: “Pengikut orang soleh ini menyembahnya, dan memohon hujan dengannya.

Lalu golongan itu pun menyembahnya.

Di sini kita dapat lihat peranan Iblis itu ialah bertujuan membebaskan manusia daripada menyembah Allah S.W.T. 

Objektif Iblis asalkan manusia itu tidak sembah Allah. Andai manusia itu nak sembah benda lain, pokok, matahari, bulan, bintang, itulah yang Iblis inginkan.

Keturunan Iblis menyesatkan orang Makkah

Sejarah kesesatan orang Makkah ada diceritakan oleh Syeikh Sofiurrahman al Mubarakfuri di dalam Sirah ar Rahiq al Makhtum.

Masyarakat Makkah asalnya mengikut ajaran Nabi Ibrahim A.S. Namun, mereka telah disesatkan oleh individu yang bernama Amru bin Luhayy.

Beliau dikenali sebagai seorang yang kuat beragama, dan berbudi. Lantas orang Makkah menyangka beliau adalah ulamak besar dan tok wali. 

Beliau tertarik dengan anutan orang Syam yang menyembah berhala, atas alasan Syam adalah tempat kelahiran para Rasul dan turunnya kitab-kitab.

Lalu beliau membawa masuk berhala dari Syam ke Makkah, dan diletakkan di dalam Kaabah, dan mengajak orang Makkah menyembahnya.

Imam Ibn Hajar al Asqolani menyatakan di dalam Syarah Bukhari (Fathul Bari) bahawa Amru bin Luhayy ada hubungan dengan jin (syaitan). 

Jin tersebut telah memberitahu mengenai berhala yang disembah pada zaman Nabi Idris dan Nabi Nuh yang diceritakan tadi. Berhala berhala itu ada tertimbus di Jeddah.

Beliau mendapatkannya dan menyerahkan kepada kabilah-kabilah Arab untuk disembah di tempat masing-masing.

Di sini kita boleh lihat strategi syaitan untuk menyesatkan manusia, asalnya menyembah Allah, terapi akhirnya menyembah berhala.

Memperjuangkan teori kebebasan

Kita tidaklah menolak perjuangan pembebasan. Sebaliknya Islam sendiri membebaskan negara negara yang diperintah oleh penguasa yang jahat.

Cuma yang perlu kita sedari ialah, pembebasan Iblis itu adalah satu keliaran. Hidup meliar tanpa panduan. Termasuklah bebas sama ada memilih untuk bercakap benar, atau berbohong.

Jadi, apakah maksud kebebasan yang sebenar? Perkara inilah yang didialogkan oleh orang Barat sepanjang zaman.

Saya melihat, orang-orang Barat ketikamana melalui mimpi ngeri di zaman Dark Ages, mereka trauma dengan kongkongan pemerintah zaman itu. 

Bahkan, kongkongan itu turut didukungi oleh gereja yang bertopengkan agama (Kristian). Dendam mereka terhadap agama melahirkan kebencian yang terpendam begitu lama.

Dalam masa yang sama, mereka tidak tahu bagaimana untuk membebaskan diri daripada kongkongan itu. Termasuklah pembebasan daripada agama. Di sinilah mereka berteori. 

Sebab itulah kita saksikan terlalu banyak takrifan liberalisme, yang berbeza-beza.

Contohnya;

1) R.G. Collingwood mentakrifkan liberalisme adalah kebebasan manusia untuk bertindak tanpa paksaan. [2]

2) Leo Strauss pula mengatakan liberalisme adalah hak kudus manusia untuk mengkritik kerajaan. [3]

3) L.T. Hobhouse pula menilai liberalisme sebagai ciri khas dunia moden. [4]

Dan lain-lain.

Apabila mereka tidak berpandukan kepada wahyu yang sebenar, mereka pun berteori, dan sehingga kini mereka masih wacanakan erti kebebasan, sepertimana dialog antara Neo Liberalisme dan Liberalisme Moden.

Saya yakin, selagi mereka tidak berpandukan wahyu yang betul, mereka akan terus berwacana dan tidak akan temui erti kebebasan yang sebenar.

Nota kaki:

[1] Edmund Fawcett, Liberalism : The Life of an Idea.
[2] The History of European Liberalism 1959.
[3] Liberalism 1968.
[4] Liberalism 1911. HARAKAHDAILY 20/5/2023

- Advertisement -