Assad kembali sertai sidang kemuncak Arab

Bashar al-Assad ketika tiba di Jeddah, Arab Saudi.
- Advertisement -

JEDDAH: Presiden Syria, Bashar al-Assad, berada di Arab Saudi, hari ini untuk menghadiri sidang kemuncak Arab, bertemu pemimpin serantau yang menjauhinya selama bertahun-tahun dalam peralihan utama dasar yang ditentang Amerika Syarikat (AS) dan kuasa Barat lain.

Dipulaukan kebanyakan negara Arab berikutan tindakan keras terhadap pihak yang menentang pemerintahannya pada 2011 dan perang saudara yang mengorbankan 350,000 orang, penyertaan semula kerajaannya dalam kumpulan serantau itu memberikan isyarat bahawa pengasingan Assad akan berakhir.

- Advertisement -

Ketibaan Assad di Jeddah, semalam, disambut Timbalan Gabenor wilayah Makkah, Putera Badr bin Sultan dan Setiausaha Agung Liga Arab, Ahmed Aboul Gheit.

Beliau dijangka turut berucap pada sidang kemuncak itu bersama pemimpin Arab lain.

Menjelang sidang kemuncak itu, AS mengulangi bantahan terhadap keputusan negara Arab memulihkan hubungan dengan Damsyik.

“Kami tidak percaya bahawa Syria sepatutnya (diberikan) masuk semula ke dalam Liga Arab,” kata timbalan jurucakap Jabatan Negara AS, Vedant Patel di Washington, sambil menambah sekatan tidak sepatutnya ditarik balik.

“Memandangkan ia berkaitan dengan normalisasi, kami tidak menyokong pemulihan hubungan dengan rejim Assad dan tidak menyokong rakan kongsi kami berbuat demikian.”

Bagaimanapun, Patel berkata: “kami mempunyai beberapa objektif bersama” seperti membawa pulang Austin Tice, bekas anggota Marin AS. dan wartawan yang dikatakan diculik di Syria pada 2012.

Sekumpulan dwipartisan penggubal undang-undang AS memperkenalkan rang undang-undang minggu lalu bertujuan untuk menghalang AS mengiktiraf Assad sebagai Presiden Syria dan meningkatkan keupayaan Washington untuk mengenakan sekatan.

Perkembangan di Arab Saudi menandakan perubahan nasib yang luar biasa bagi pemimpin Syria itu, yang bekas Presiden AS, Donald Trump menggelar Assad sebagai “haiwan” kerana menggunakan senjata kimia pada 2018 – tuduhan yang dinafikan secara konsisten.

Tentera kerajaan didakwa menggunakan senjata kimia lebih daripada dua dozen semasa perang saudara Syria, kata penyiasat jenayah perang PBB. Namun, Syria berulang kali menafikan dakwaan itu.

Kepulangan Assad ke pangkuan negara Arab adalah sebahagian daripada trend yang lebih meluas di Timur Tengah apabila negara yang tidak sehaluan mengambil langkah untuk memperbaiki hubungan yang tegang akibat konflik dan persaingan selama bertahun-tahun.

Arab Saudi, Qatar dan lain-lain selama bertahun-tahun menyokong pemberontak anti-Assad. Tentera Syria yang disokong oleh Rusia dan Iran, menguasai semula sebahagian besar negara itu beberapa tahun lalu.

Walaupun negara-negara Arab menerima kembali Assad, mereka masih menuntut beliau menyekat perdagangan dadah Syria yang berkembang pesat dan membenarkan pelarian perang pulang. – REUTERS

- Advertisement -