Saya pun tak kenal dengan individu tu – Sanusi

Dato' Seri Muhammad Sanusi Md Nor
- Advertisement -

ALOR SETAR: Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor menegaskan beliau tiada kaitan dengan individu yang mengutip derma kononnya untuk membantu membayar saman mahkamah.

- Advertisement -

Bercakap pada sidang media di Wisma Darul Aman, hari ini, beliau juga tidak tahu menahu akan hal itu dan langsung tidak mengenali individu terbabit.

“Bayaran saman kepada Dato’ Mahfuz saya dah bayar. Saya pun tak kenal dengan individu tu. Tak terbabit dengan saya. Mungkin dia simpati kot dekat saya,” jawab beliau.

Tular di media sosial melalui aplikasi TikTok individu membawa bekas yang tertulis “tabung sanusi bayar saman fitnah” serta memperkenalkan dirinya orang Kedah memohon derma untuk membantu Sanusi.

Namun di akhir video, individu berkenaan memberi amaran kepada Muhammad Sanusi agar berusaha bayar samannya sendiri.

Dalam pada itu, video terbabit mendapat perhatian netizen dan rata-ratanya menganggap ia sengaja dilakukan untuk mempermain pemimpin kerajaan Kedah itu.

Beberapa pihak telah mengambil tindakan membuat laporan polis berkenaan hal terbabit.

Muhammad Sanusi dalam sidang media itu juga memaklumkan beliau memfailkan satu kes saman terhadap bekas Ahli Parlimen Pokok Sena berkaitan tuduhan membeli kenderaan Vellfire. – HARAKAHDAILY 17/5/2023

- Advertisement -