Mid Valley terbakar, tiada kematian

Sebahagian daripada bangunan pusat beli belah Mid Valley di ibu negara terbakar berpunca dari sebuah bilik pencawang elektrik TNB pada pagi hari ini, 17 Mei 2023.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pihak pengurusan pusat beli-belah Mid Valley melalui laman sosial Facebooknya, Mid Valley Megamall mengesahkan tiada kematian berlaku akibat kebakaran di pusat beli-belah tersebut yang kini terpaksa ditutup buat sementara waktu.

Kebakaran berlaku pada jam 10.27 pagi tadi di Pencawang Masuk Utama (PMU) yang berdekatan dengan pusat beli-belah tersebut.

- Advertisement -

Pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) menyatakan bahawa ia telah menggerakkan pasukan teknikalnya ke kawasan tersebut.

“Punca kebakaran tersebut masih dalam siasatan kami tetapi apa yang pasti, kami akan berusaha sebaik mungkin untuk memulihkan semula bekalan tenaga sebaik mungkin,” ujar kenyataan TNB, di sini, hari ini.

Menurut TNB lagi, punca kejadian sebenar sedang dikenalpasti dan usaha sedang giat dijalankan untuk memulihkan bekalan.

“TNB mengambil langkah segera untuk pemulihan bekalan dengan sebahagian pengguna terlibat telah mendapat bekalan seawal jam 10.55 pagi,” ujar kenyataan TNB.

Tambah kenyataan itu, TNB sedang berusaha memulihkan bekalan kepada pengguna yang masih terkesan.

Kebakaran di Mid Valley berlaku di Pencawang Masuk Utama (PMU) Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang berdekatan dengan pusat beli-belah tersebut.

“Pengguna boleh menghubungi TNB CareLine di talian 15454 untuk maklumat lanjut. Kami memohon maaf atas segala kesulitan yang dialami oleh pengguna semasa gangguan bekalan ini,” tambah TNB. 

Sementara itu, pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat telah berusaha memadamkan kebakaran yang berlaku dengan sebaik mungkin.

Sehubungan itu, pihak pengurusan Mid Valey meminta maaf di atas segala kesulitan yang berlaku dan akan sentiasa memberikan kerjasama yang terbaik bagi memastikan keselamatan pengunjung pusat beli-belah tersebut terjaga dengan rapi. – HARAKAHDAILY 17/5/2023

- Advertisement -