Liverpool terus mengejar, Leicester kian tenat

Penyerang Leicester, Jamie Vardy, melakukan sepakan gunting ketika menentang Liverpool.
- Advertisement -

Dua gol Curtis Jones dan penyudah hebat Trent Alexander-Arnold memberikan Liverpool kemenangan 3-0 ke atas Leicester City, meningkatkan harapan kelab itu mendapatkan slot ke Liga Juara-Juara, manakala Leicester semakin hampir tersingkir dari Liga Perdana.

Liverpool berada di tempat kelima dengan 65 mata selepas 36 perlawanan, satu mata di belakang pasukan tangga keempat, Manchester United. Leicester berada di tangga ke-19 dengan 30 mata, dua mata di belakang Everton di tangga ke-17 dengan baki dua perlawanan.

- Advertisement -

Leicester mengalu-alukan kepulangan pemain pertahanan tengah, Jonny Evans, dalam kesebelasan utama buat kali pertama sejak Oktober lalu. Namun, pemenang tiga kali Liga Perdana bersama Manchester United tidak dapat memberikan impak diharapkan untuk menyelamatkan kelabnya.

Selepas permulaan hambar, Jones memecah kebuntuan pada minit ke-33 dengan penyudah hebat hasil hantaran lintang Mohamed Salah. Pemain tengah berusia 22 tahun itu sekali lagi menjaringkan gol tiga minit kemudian, juga hasil hantaran Salah.

Alexander-Arnold melenyapkan sebarang harapan tuan rumah untuk kembali bangkit dengan gol ketiga yang cemerlang selepas sepakan percuma Salah pada minit ke-71.

Liverpool melakar kemenangan liga ketujuh berturut-turut, tetapi pengurus, Juergen Klopp tidak yakin pasukannya mampu mengatasi Manchester United atau Newcastle di tempat ketiga dan keempat.

“Saya tidak fikir kemungkinan itu (penamat dalam empat teratas) apabila anda melihat bagaimana mereka (Man United dan Newcastle) bermain. Mereka mempunyai begitu banyak kualiti,” katanya.

Leicester hanya meraih dua mata daripada empat perlawanan terakhir dengan kunjungan ke Newcastle United dan perlawanan di tempat sendiri menentang West Ham United akan datang, masa semakin suntuk untuk juara 2016 itu mengekalkan status Liga Perdana mereka.

“Kami melihat keputusan. Kami tewas terlalu banyak perlawanan dan pasukan lain lebih baik, ia semudah itu. Kami mempunyai dua lagi perlawanan dan perlu melakukan usaha yang sama seperti malam ini, komitmen yang sama,” kata Evans. – REUTERS

- Advertisement -