Pekerja kilang hilang pendengaran tertinggi di Perak

Dr Rabaayah Daud
- Advertisement -

IPOH: Masalah hilang pendengaran dalam kalangan pekerja kilang terus mencatatkan kes berkaitan penyakit dan keracunan pekerjaan tertinggi di negeri ini, kata Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Perak Dr Rabaayah Daud.

- Advertisement -

Beliau berkata 695 kes iaitu 96 peratus daripada 722 kes yang dilaporkan kepada pihaknya tahun lepas melibatkan masalah hilang pendengaran.

“Pada tahun ini pula, lebih 200 kes masalah hilang pendengaran yang kebanyakannya melibatkan pekerja di sektor perkilangan berbanding industri lain dan ia masih menjadi kes yang utama.

“Selalunya ia disebabkan daripada aktiviti seperti di kilang besi yang memang suasananya bising, kilang yang mengoperasikan banyak mesin atau kilang lama yang tidak dapat dilakukan kawalan kejuruteraan,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri JKKP Perak di sini hari ini.

Menurut Rabaayah pihaknya sentiasa melakukan pemantauan dan berusaha mengadakan program kesedaran bersama pihak industri berhubung keperluan menjaga kebajikan pekerja supaya tidak terdedah dengan bunyi bising.

 Dalam pada itu, beliau berkata sejumlah 883 kes kecederaan pekerjaan dilaporkan kepada JKKP Perak membabitkan 20 kes maut, 33 kes hilang upaya kekal (HUK) dan 830 kes tidak hilang upaya kekal  (THUK) pada tahun lepas.

Katanya pada tahun ini pula, 288 kes kecederaan pekerjaan telah dilaporkan membabitkan empat kes maut, lima kes HUK dan 279 kes THUK.

Selain itu, menurutnya sebanyak 2,431 surat arahan dan 864 notis telah dikeluarkan, manakala 77 kesalahan Akta Kilang dan Jentera 1967 dikeluarkan kompaun berjumlah RM264,500 dan 29 kesalahan dikenakan tindakan pendakwaan di mahkamah pada tahun lepas.

“Pada tahun ini, JKKP Perak mengeluarkan 32 kompaun dengan jumlah tawaran kompaun RM111,500, manakala tujuh kesalahan dikenakan tindakan pendakwaan,” katanya. – BERNAMA

- Advertisement -