Kelantan manfaat kepakaran NGO bina telaga tiub

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan negeri akan mendapat khidmat beberapa NGO termasuk Muslim Care yang banyak membantu membina telaga tiub di Sudan, Afghanistan dan banyak lagi negara.

- Advertisement -

Menteri Besar Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob berkata, kerajaan negeri akan bekerjasama dengan NGO terbabit bagi membina telaga tiub di kawasan yang mengalami masalah gangguan bekalan air bersih.

Katanya, situasi itu berlaku disebabkan musim panas yang melanda negara sekarang.

“Kita telah mengadakan perbincangan dengan Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) untuk membina sistem telaga tiub di kawasan yang mengalami masalah bekalan air pada musim panas sekarang.

“Kerajaan negeri sentiasa memantau masalah bekalan air yang dihadapi rakyat di Kelantan,” katanya selepas merasmikan Majlis Karnival Bio Kelantan 2023 di Kompleks Islam Darulnaim di Lundang hari ini. (Foto atas)

Turut hadir Speaker Dewan Undangan Negeri Dato’ Abdullah Ya’kub dan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi, Teknologi Hijau dan Alam Sekitar negeri Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail.

Menteri Besar berkata, kerajaan negeri akan mencari kaedah bagaimana cara untuk membantu membina telaga tiub di lokasi yang berdepan dengan masalah bekalan air.

Berucap sebelum itu katanya Kelantan memfokuskan bidang bioteknologi di samping menggalakkan usahawan tempatan mengeluarkan produk yang berasaskan sektor berkenaan.

Katanya ia sebagai langkah memastikan produk yang dikeluarkan lebih berdaya saing bagi mendukung hasrat kerajaan negeri untuk menjadikan Kelantan ke arah jelapang makanan negara.

Pelbagai aktiviti diadakan sempena karnival tersebut termasuk pameran dan bengkel ilmiah yang bermula hari ini sehingga Ahad. – HARAKAHDAILY 11/5/2023

- Advertisement -