Rakyat Kelantan bertuah dapat Skim Khairat RM1,000

- Advertisement -

PASIR PUTEH: Rakyat Kelantan cukup bertuah apabila mereka menerima bantuan RM1,000 apabila berlaku kematian warga emas yang mendaftar di bawah Skim Khairat Kifaalah.

- Advertisement -

Warga emas berusia 55 tahun dan ke atas layak menyertai skim tersebut yang diurus kerajaan negeri sejak lebih 10 tahun lepas.

Sumbangan tersebut diagih wakil-wakil rakyat kepada keluarga emas yang meninggal dunia bagi meringankan bebanan mereka.

Adun Gaal Mohd Rodzi Jaafar berkata, sejak Januari hingga awal bulan ini sebanyak RM67,000 diagih kepada keluarga warga emas yang meninggal dunia di Dun terbabit.

Katanya, sumbangan kerajaan negeri itu disampaikan kepada wasi (keluarga) si mati sama ada pada hari kematian atau beberapa hari selepas itu.

“Sumbangan kerajaan negeri diberi kepada mereka yang mendaftar di bawah skim berkenaan.

“Oleh itu saya menasihatkan mana-mana individu yang berumur 55 tahun ke atas mendaftar sebagai ahli. Pendaftaran boleh dibuat secara atas talian atau mengambil borang dengan penghulu,” katanya di sini.

Menurutnya juga borang permohonan mesti diserahkan bersama salinan kad pengenalan dan nama wasi untuk memudahkan urusan pembayaran sekiranya berlaku kematian. – HARAKAHDAILY 10/5/2023

- Advertisement -