Paling corot, tapi memenangi hati rakyat Kemboja

Bou Samnang tetap menghabiskan larian dalam keadaan hujan lebat
- Advertisement -

Seorang atlet sukan Kemboja menyentuh hati rakyat negara itu dan peminat sukan secara keseluruhan apabila gigih menamatkan acara 5,000 meter wanita dalam hujan lebat pada Sukan SEA Isnin lalu walaupun pemenang acara itu menamatkan perlumbaan hampir enam minit lebih awal.

Apabila Bou Samnang berjaya melepasi garisan penamat, dia menangis teresak-esak, menyatukan telapak tangannya tanda terima kasih kepada penyokongnya.

- Advertisement -

Pemenang, iaitu bintang olahraga Vietnam Nguyen Thi Oanh, menamatkan perlumbaan itu, lima minit dan 54 saat lebih awal.

Atlet yang menduduki tempat kedua terakhir, Run Romdul, juga berasal dari Kemboja yang menganjurkan temasya tahun ini.

“Walaupun kalah, anda memenangi hati Kemboja,” tulis pengguna Facebook, Mao Vanthan.

Seorang lagi pengguna media sosial, Chanphal Ngy, berkata: “Kami menitiskan air mata bersama anda… Anda akan berjaya dalam hidup mengikut kehendak anda.”

“Ketahanan anda adalah inspirasi sebenar kepada kami semua,” kata Kong Dara.

“Komitmen anda untuk mengharungi cabaran, mengekalkan sikap positif dan tidak pernah berputus asa terhadap diri sendiri adalah bukti kekuatan dan perwatakan anda.

“Anda mungkin tidak memenangi perlumbaan, tetapi memenangi kekaguman dan penghormatan kami atas semangat anda yang tidak berbelah bahagi.”

Menurut seorang pegawai Kementerian Penerangan Kemboja, Bou menerima bonus AS$250 daripada Menteri Penerangan, Khieu Kanharith. – AFP

- Advertisement -