Kita tak dapat lagi Sungai Pahang yang jernih

Dato' Sri Tuan Ibrahim Tuan Man
- Advertisement -

KALI pertama dalam sejarah Dewan Negeri Pahang mencatatkan jumlah pembangkang yang paling besar pada kali ini seramai 17 orang. Saya ucapkan terima kasih kepada pengundi-pengundi di Pahang yang telah memilih wakil. Apa yang penting kami memberi komitmen untuk menjadi pembangkang yang konstruktif, pembangkang yang membina, turut mencadangkan beberapa cadangan-cadangan yang baik bagi pembangunan negeri Pahang. Kita tidak akan jadi pembangkang yang membangkang kerajaan tapi dalam waktu yang sama kita perlu ada check and balance dalam pembangunan negeri Pahang.

- Advertisement -

Ucapan titah tuanku merumus kepada perkara-perkara yang besar. Saya melihat di antaranya ialah isu keprihatinan tuanku terhadap isu pembangunan yang tidak merosakkan alam sekitar. Kami menyambut baik titah tuanku tersebut dan saya yakin kerjaan negeri juga melaksanakan program memelihara dan memberi perhatian kepada isu alam sekitar.

Apa yang boleh saya sebutkan di sini ialah kita akui beberapa projek yang dilaksanakan di peringkat negeri bukan sahaja memerlukan pemantauan tapi peningkatan penguatkuasaan mampu mencadangkan satu peruntukan besar diberi kepada penguatkuasa supaya mereka boleh melaksanakan tugas tanggungjawab yang lebih berkesan. Tanpa peruntukan yang cukup, kemudahan teknologi yang canggih, penguatkuasa kita tidak mungkin dapat membuat pemantauan terhadap pembangunan di negeri Pahang dengan dengan jumlah yang luas.

Sebagai contoh Jabatan Alam Sekitar, tapi Pahang ini memang tidak cukup pejabat alam sekitar yang mana ada Lipis. Setahu saya ada 2 atau 3 sahaja untuk kawal seluruh negeri Pahang. Dan kita di peringkat persekutuan telah mengubah akta alam sekitar. Namun kalau sekiranya penguatkuasa tidak cukup untuk sampai ke tempat lokasi yang berlaku pencemaran, punca pencemaran, kita akan gagal membawa mereka ke mahkamah dan segala akta yang kita gubal tidak dapat dilaksanakan sebaik mungkin.

Sebagai contoh juga saya ingin mengambil perhatian soal pembalakan. Kita akui bahawa pembalakan ini sebenarnya menjadi hasil kepada negeri tetapi sesetengah projek pembalakan menyebabkan berlaku pencemaran alam sekitar yang sangat serius. Sebagai contoh, projek ini berselindung di bawah projek penanaman semula hutan yang menyebabkan mereka membuat 80 peratus dengan istilah kita guna cuci mangkuk. Walaupun ia atas nama tanam semula hutan. Kajian yang kita buat mendapati daripada jumlah kelulusan yang diberi kepada penebangan balak pada tahun 2020 iaitu 73,360 hektar namun tanaman semula yang dibuat hanya lima peratus sahaja. Sedangkan projek itu diberi nama atas penanaman semula hutan.

Sungai kita tak dapat lagi Sungai Pahang yang jernih. Punca besar kita selain daripada pembalakan ialah perlombongan pasir. Pemantauan yang saya buat pasir-pasir dibersihkan tidak mengikut peraturan yang sebenar. Sepatutnya mereka ada takungan, dua tiga takungan barulah air itu dilepaskan. Tapi sebahagian besar membasuh pasir di tepi sungai menyebabkan aliran pencemaran terus masuk ke sungai. Inilah yang menyebabkan sungai bertambah cetek, bertambah teruk. Saya mengalu-alukan titah tuanku supaya bukan sahaja kita nak suruh penguatkuasa kita, tapi peruntukan dan penambahan kakitangan perlu dibuat.

Selain daripada faktor yang kedua perlombongan pasir. Perlombongan juga menyumbang besar pencemaran alam sekitar di samping isu ladang musang king yang luas. Faktor-faktor ini memberi kesan yang besar kepada sungai-sungai kita.

Suka saya maklum, beberapa loji di Pahang ini tidak boleh memproses air kerana keladak sungai yang sangat keruh. Apa yang mampu kita buat, kita sediakan takungan sebelum air itu dipam kepada loji tapi yang jelasnya bahawa kita mesti, pemantau perlu dibuat dengan lebih rapi supaya projek ini tidak merosakkan alam sekitar.

Pembangunan yang seimbang seperti yang disebut oleh tuanku. Ada daerah yang sangat tertinggal seperti Lipis dan Jerantut sebagai contoh, sedangkan kawasan ini penyumbang besar hasil sama ada perlombongan, pembalakan dan sebagainya. Tapi sayangnya hasil itu gagal dapat kepada daerah-daerah tersebut. Saya mohon pertimbangan kerajaan negeri supaya sekurang-kurangnya 10 peratus hasil dapat diserahkan kepada daerah tersebut.

Kita bimbang akan berlaku 2 perkara. Pertama berlaku ketirisan hasil yang menyebabkan kita hilang hasl kerana pemantauan. Daerah perlu memantau hasil. Hasil kita dapat lebih sekiranya pemantau lebih rapi di peringkat daerah dan daerah mendapat hasil daripada pengeluaran hasil daerah masing-masing. Dengan cara ini, daerah itu ada dana, ada duit yang boleh membangunkan daerah tersebut dan akan berlaku kesimbangan pembangunan pada setiap daerah.

Timbul isu yang berlaku juga ialah tentang cadangan supaya kawasan-kawasan hutan simpan kekal dapat dipertahankan. Hutan simpan ini kadang-kadang turut diceroboh oleh pelbagai pihak. Namun apa yang jelas mereka ini kadang-kadang pencerobohan berlaku di tempat yang dibuat projek cuci mangkuk ini tadi. Hutan telah bersih ditanam musang king.

Sehubungan dengan itu juga saya mencadangkan kawasan tadahan air digazetkan sebagai kawasan yang tidak boleh dilakukan pembalakan. Hampir 30 peratus air di Pahang bergantung kepada air bukit. Pembalakan pada kawasan ini memberi implikasi kepada penduduk. Sebagai contoh di kawasan Dun Cheka, di satu kawasan di mana penduduk bergantung pada sumber air bukit, Kg. Lentang di Lipis. Hampir 60 hari mereka tidak dapat bekalan air bersih. Mereka bergantung kepada air bukit, dan saya juga dapati ada berlakunya pembalakan di sana. Mereka akan kehilangan punca air. Saya mohon pertimbangan daripada kerajaan supaya mewartakan kawasan tadahan air sebagai kawasan hutan simpan kekal bagi menjamin generasi akan datang.

PAIP mendapat pinjaman RM1.1 bilion dengan termeterai perjanjian pada 23 Disember 2020. Berapakah jumlah pinjaman setakat ini yang diluluskan oleh Pahang kepada PAIP? Dengan hasrat dengan pinjaman tersebut, kerajaan mampu menaiktaraf beberapa loji air di luar bandar termasuk loji air Mela yang saya fikir sangat penting. Naik taraf loji-loji ini perlu disegerakan dengan adanya penambahan perumahan. Perumahan makin bertambah, penduduk makin bertambah, tapi loji dan jalan raya masih lagi kekal yang sama. Oleh itu naik taraf loji-loji ini perlu disegerakan.

Di samping itu, saya ingin menyentuh soal peruntukan pembangunan jalan raya khususnya di kawasan Dun Cheka daripada Kerambit ke Jerantut.

Ucapan penghargaan terima kasih kepada tuanku yang telah menyentuh soal peruntukan kepada pembangkang. Hampr semua media utama mengambil topik ini sebagai topik utama, bermakna bahawa titah tuanku disambut oleh sebahagian besar media perdana. Jadi, kita harapkan kerajaan negeri dapat laksanakan hasrat tuanku. – HARAKAHDAILY 10/5/2023

Petikan ucapan Ketua Pembangkang yang juga Adun Cheka, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man semasa membahaskan usul menjunjung kasih titah diraja Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang, 9 Mei 2023.

- Advertisement -