SELAMATKAN perahu daripada raja yang zalim
أَمَّا ٱلسَّفِينَةُ فَكَانَتْ لِمَسَٰكِينَ يَعْمَلُونَ فِى ٱلْبَحْرِ فَأَرَدتُّ أَنْ أَعِيبَهَا وَكَانَ وَرَآءَهُم مَّلِكٌ يَأْخُذُ كُلَّ سَفِينَةٍ غَصْبًا
“Adapun bahtera itu adalah kepunyaan orang miskin yang bekerja di laut dan aku hendak merosakkan bahtera itu kerana di hadapan mereka ada seorang raja yang akan merampas setiap bahtera. (79)”
Perahu yang ditebuk oleh Nabi Khidir itu adalah milik orang-orang miskin. Mereka berpakat membelinya untuk digunakan menyeberangi sungai dan laut. Ada seorang raja yang sentiasa menunggu perahu-perahu tiba di suatu pangkalan. Perahu-perahu yang elok akan dirampas dan dijadikan sebagai miliknya.
Oleh sebab itu, tujuan Nabi Khidir menebuk perahu itu adalah untuk menyelamatkannya daripada dirampas oleh raja yang zalim. Apabila raja mendapati ada kecacatan pada perahu itu, maka perahu itu tidak akan dirampas.
Selamatkan ibu bapa yang beriman
وَأَمَّا ٱلْغُلَٰمُ فَكَانَ أَبَوَاهُ مُؤْمِنَيْنِ فَخَشِينَآ أَن يُرْهِقَهُمَا طُغْيَٰنًا وَكُفْرًا
“Dan adapun anak muda itu, maka kedua orang tuanya adalah orang yang beriman dan kami khuatir bahawa dia akan memaksa kedua orang tuanya itu kepada kesesatan dan kekafiran. (80)”
فَأَرَدْنَآ أَن يُبْدِلَهُمَا رَبُّهُمَا خَيْرًا مِّنْهُ زَكَوٰةً وَأَقْرَبَ رُحْمًا
“Dan kami menghendaki supaya Tuhan mereka menggantikan bagi mereka dengan anak lain yang lebih baik kesuciannya daripada anaknya itu dan lebih dalam kasih sayangnya (kepada ibu bapanya). (81)”
Ada seorang kanak-kanak yang apabila dia menjadi dewasa kelak, dia akan menjadi jahat dan kufur serta mempengaruhi ibu dan bapanya. Dia amat disayangi oleh ibu dan bapanya. Apabila dia menjadi jahat, dia akan memaksa ibu dan bapanya untuk berbuat perkara-perkara yang tidak sepatutnya. Disebabkan oleh kasih sayang, ibu dan bapanya mungkin akan mengikutinya.
Oleh sebab itu, Nabi Khidir membunuh kanak-kanak itu demi menyelamatkan ibu dan bapanya dan berharap Tuhan akan menggantikannya dengan anak yang lebih baik yang tidak akan merosakkan dan menyesatkan ibu dan bapanya.
Selamatkan harta anak yatim
وَأَمَّا ٱلْجِدَارُ فَكَانَ لِغُلَٰمَيْنِ يَتِيمَيْنِ فِى ٱلْمَدِينَةِ وَكَانَ تَحْتَهُۥ كَنزٌ لَّهُمَا وَكَانَ أَبُوهُمَا صَٰلِحًا فَأَرَادَ رَبُّكَ أَن يَبْلُغَآ أَشُدَّهُمَا وَيَسْتَخْرِجَا كَنزَهُمَا رَحْمَةً مِّن رَّبِّكَ وَمَا فَعَلْتُهُۥ عَنْ أَمْرِى ذَٰلِكَ تَأْوِيلُ مَا لَمْ تَسْطِع عَّلَيْهِ صَبْرًا
“Adapun dinding rumah itu adalah kepunyaan dua orang anak yatim di kota itu dan di bawahnya ada harta-harta simpanan bagi mereka berdua, sedang ayahnya adalah seorang yang soleh. Maka Tuhanmu mengkehendaki agar keduanya sampai dewasa dan keduanya mengeluarkan simpanannya itu sebagai rahmat daripada Tuhanmu dan bukanlah aku melakukan itu menurut kemahuanku sendiri. Demikian itu adalah tujuan perbuatan-perbuatan yang kamu tidak dapat sabar terhadapnya.” (82)”
Ada harta di bawah dinding rumah itu. Ibu dan bapa kanak-kanak itu ialah orang-orang yang baik. Sebelum mereka meninggal dunia, mereka menyimpan harta di bawah dinding rumah untuk kegunaan anaknya. Nabi Khidir bimbang dinding rumah itu akan roboh. Apabila ia roboh, harta itu akan terkeluar dan mungkin akan diambil oleh orang lain. Kanak-kanak itu pun masih kecil dan tidak mampu untuk mempertahankannya.
Oleh sebab itu, Nabi Khidir membaiki dinding itu supaya harta itu selamat. Nabi Khidir juga berharap agar apabila kanak-kanak itu membesar, dia akan menjumpai harta yang disimpan oleh ibu dan bapanya.
Hikmah yang tersembunyi – Sabar dan redha
Kesemua perbuatan Nabi Khidir tersebut adalah bersebab dan mengikut kehendak-Nya. Pengajarannya adalah setiap perkara itu mempunyai hikmah yang kita tidak ketahui. Pada zahirnya, kita mungkin berasa tidak berpuas hati dan tidak menyukainya. Namun, ada kebaikan di sebaliknya yang hanya diketahui oleh Allah S.W.T. Dia mentakdirkan apa-apa yang terbaik untuk kita walaupun kita merasakan ianya tidak bagus.
Maka kita sebagai orang beriman, apabila berdepan dengan realiti hidup, kita hendaklah bersabar dan redha dengan takdir hidup kita. Ikhtiar juga perlu ada dan pada masa yang sama kita berusaha untuk memperbaiki hidup, kita juga perlu menerima hakikat bahawa semua yang berlaku adalah ketentuan-Nya.
Sesuatu yang berlaku di dunia secara zahir sebenarnya mempunyai hakikat yang berada di luar kemampuan kita. Jiwa orang yang redha terhadap apa-apa yang menimpa dirinya itu lebih tenang. Sebaliknya jika kita selalu mempersoalkan begitu dan begini, kita akan berasa resah.
Misalnya, apabila berlaku kematian atau bencana, kita diajar untuk menyebut kalimah Istirja iaitu “Inna lillahi wa inna ilaihi rojiun” (Sesungguhnya kita milik Allah dan kepada-Nya jualah tempat kita kembali) supaya hati kita menjadi tenang.
Apabila berlaku kematian seorang anak kepada sahabat Nabi S.A.W, Nabi pergi menziarahinya. Nabi bersalam dan mengucapkan takziah kepadanya dan menyebut satu doa iaitu yang bermaksud “Semua ini milik Allah belaka, setiap perkara ada tempoh masanya, hendaklah kamu sabar dan berhitunglah [1]”.
(1) Semua ini milik Allah belaka – Anak merupakan kurniaan Allah dan Dia berhak untuk mengambilnya kembali. Ada orang yang sudah lama berkahwin tetapi belum dikurniakan anak. Ada pula yang baru sahaja berkahwin tetapi sudah pun memperoleh anak.
(2) Setiap perkara ada tempoh masanya – kita yang hidup akan mati apabila sudah tiba masanya cuma cara mati masing-masing tidak sama. Ada yang mati semasa kecil, dalam kandungan, semasa melahirkan, semasa tua, ketika sakit. Ada pula yang belum lagi mati walaupun umur sudah lanjut.
(3) Sabar – maksudnya menerima dengan redha. Sebab ia berada di luar kemampuan kita. Mati ini bukan suatu hal yang boleh dibuat-buat.
(4) Hitung – kita yang hidup ini hendaklah sentiasa beringat apabila menyaksikan kematian orang lain. Sebab kematian kita pula tidak diketahui bila? Dan amalan kita sudahkah mencukupi?
Perbezaan antara ilmu zahir dan ilmu batin
Sesetengah orang yang walaupun mereka belajar pelbagai ilmu, mereka tidak dapat ‘membaca’ orang lain. Sebaliknya ada yang belajar di tahap yang tidak tinggi, namun Allah membuka hatinya untuk mengenal orang lain. Bukan semua orang memperoleh kelebihan sedemikian. Kurniaan-Nya kepada manusia adalah tidak sama.
Kelebihan Huzaifah berbanding Sayyidina Umar R.A
Sebagai contoh pada zaman Nabi S.A.W, terdapat seorang Sahabat yang mengenali golongan munafik iaitu Huzaifah bin Al Yaman. Beliau merupakan Sahabat Nabi dan juga pemegang rahsia Baginda. Beliau dapat memberitahu siapakah golongan munafik di Madinah. Ilmu ini telah diajarkan oleh Baginda S.A.W kepadanya seorang.
Tiada siapa yang mengetahui berkaitan dengan golongan munafik ini. Bahkan Sahabat besar iaitu Sayyidina Umar R.A sendiri yang mempunyai ilmu Kasyaf yang hebat juga tidak mengetahuinya. Ilmu Kasyaf adalah ilmu yang boleh melihat sesuatu yang tidak dapat dilihat.
Terdapat beberapa peristiwa besar yang berlaku dalam kehidupan Sayyidina Umar yang menunjukkan ketajaman pandangan beliau sehingga pernah turunnya ayat al-Quran kerana kebetulan selari dengan pandangan beliau.
(1) Ayat berhijab.
Sayyidina Umar mendapati bahawa tetamu-tetamu Nabi terdiri daripada pelbagai jenis golongan seperti orang baik, orang jahat, orang Islam, orang bukan Islam dan sebagainya. Bimbang jika berlaku hal-hal yang tidak diingini ketika mereka melihat isteri-isteri Nabi. Jadi, adalah lebih elok sekiranya isteri-isteri Nabi berhijab dengan menutupi aurat dengan sempurna. Ayatnya:
يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ قُلْ لِأَزْوَاجِكَ وَبَنَاتِكَ وَنِسَاءِ الْمُؤْمِنِينَ يُدْنِينَ عَلَيْهِنَّ مِنْ جَلَابِيبِهِنَّ ذَلِكَ أَدْنَى أَنْ يُعْرَفْنَ فَلَا يُؤْذَيْنَ وَكَانَ اللَّهُ غَفُورًا رَحِيمًا
“Hai Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mukmin: “Hendaklah mereka mengulurkan jilbabnya ke seluruh tubuh mereka.” Yang demikian itu supaya mereka lebih mudah untuk dikenal, kerana itu mereka tidak di ganggu. Dan Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.””
(al-Ahzab: 59)
(2) Ayat dalam peristiwa Perang Badar.
Di dalam peperangan itu, orang Islam menang manakala ramai orang kafir ditawan dan dibawa pulang ke Madinah. Nabi S.A.W meminta pandangan para Sahabat tentang tindakan yang sepatutnya diambil terhadap tawanan perang. Sayyidina Umar berpendapat agar semua tawanan dibunuh.
Sedangkan dalam kalangan tawanan itu merupakan ahli keluarga Sahabat lain yang hidup di Makkah. Nabi S.A.W dan Sayyidina Abu Bakar berbeza pendapat dengan pendapat beliau lalu mereka pun berbincang. Nabi S.A.W akhirnya mengambil keputusan yang tidak sependapat dengan pendapat Sayyidina Umar.
Keputusannya, ahli keluarga tawanan itu perlu membayar tebusan dan mereka akan dilepaskan semula ke Makkah. Namun sekiranya gagal untuk membayarnya, mereka perlu mengajar sepuluh orang kanak-kanak di Madinah sehingga pandai, barulah mereka akan dilepaskan semula ke Makkah.
Lalu, teguran Allah terhadap Baginda S.A.W turun melalui ayat berikut:
مَا كَانَ لِنَبِيٍّ اَنْ يَّكُوْنَ لَهٗٓ اَسْرٰى حَتّٰى يُثْخِنَ فِى الْاَرْضِۗ تُرِيْدُوْنَ عَرَضَ الدُّنْيَاۖ وَاللّٰهُ يُرِيْدُ الْاٰخِرَةَۗ وَاللّٰهُ عَزِيْزٌ حَكِيْمٌ
“Tidak patut bagi seorang Nabi mempunyai tawanan sebelum ia dapat melumpuhkan musuhnya di muka bumi. Kalian menghendaki harta benda duniawi, sedangkan Allah menghendaki (pahala) akhirat (untuk kalian). Dan Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.”
(al-Anfal: 67)
Teguran itu mengejutkan Nabi. Jadi pandangan Sayyidina Umar adalah betul. Sebab Islam baru hendak tertegak pada ketika itu. Musuh perlu dibunuh kesemuanya. Jika mereka dihantar semula ke Mekah, mereka akan melawan Islam sekali lagi malah berperang.
(3) Ayat ketika membaca khutbah Jumaat.
Semasa Sayyidina Umar menjadi seorang khalifah, tentera Islam dihantar berperang di Rom. Semasa berperang, mereka dikepung oleh musuh yang ramai.
Ketika Sayyidina Umar sedang membaca khutbah, terkeluar daripada mulutnya yang mengejutkan semua Jemaah: “Ya Sariyatal Jabal” (Wahai Ketua Panglima Perang, naiklah atas bukit)
Setelah sebulan tentera pulang dari peperangan, ada yang menceritakan bahawa dia terdengar suara Sayyidina Umar yang amat kuat di saat mereka dikepung. Lalu, dia mengarahkan tenteranya naik ke atas bukit. Musuh tidak dapat berbuat apa-apa. Jadi, selamatlah mereka.
Begitu dahsyatnya suara Sayyidina Umar kerana dapat didengari oleh tentera yang sedang berperang. Setelah selesai khutbah, ada Sahabat yang bertanya, Sayyidina Umar menjawab bahawa Baginda dapat melihat kepungan terhadap tentera Islam pimpinan Sariyah pada ketika itu.
Walaupun Sayyidina Umar sudah pun dikira hebat setaraf itu, namun Baginda tidak dapat mengenali golongan munafik. Setelah Nabi S.A.W wafat, apabila berlaku kematian di Madinah, Sayyidina Umar akan mengintai sama ada Huzaifah pergi menunaikan solat jenazah atau tidak. Huzaifah memang tidak akan pergi jika yang meninggal itu ialah orang munafik dan beliau tidak memberitahu kepada sesiapa pun. Jadi jika Huzaifah tiada, maka Sayyidina Umar pun tidak akan turut serta.
Dalam Islam, dilarang sembahyang ke atas jenazah orang munafik [2]. Sebab orang munafik ialah orang yang menzahirkan keimanan namun menyembunyikan kekafiran. Mereka akan dicampakkan ke dalam neraka yang paling bawah sekali [3].
Huzaifah tidak menceritakan kepada sesiapa pun sebab keburukan manusia tidak boleh disebarkan. Begitu juga dengan orang yang memandikan jenazah, dia perlu memegang kerahsiaan tersebut.
Kuliah Tafsir Mingguan disampaikan Timbalan Menteri Besar Kelantan, Dato’ Mohd Amar Abdullah yang juga Naib Presiden PAS pada Isnin, 8 Mei 2023 di Masjid Assidiqin, Mukim Panchor, Kelantan. – HARAKAHDAILY 8/5/2023
Rujukan:
[1] Hadis sahih riwayat Imam Bukhari (no. Hadis 7377), dan Imam Muslim (no. Hadis 923).
[2] Hal ini berdasarkan ayat Al-Quran dalam Surah al-Taubah, ayat ke-84.
[3] Surah al-Nisa’, ayat ke-145.