Messi dihukum gara-gara lawat Arab Saudi

- Advertisement -

Penyerang Paris St Germain, Lionel Messi tidak akan diperbaharui kontraknya di kelab itu berikutan lawatan tanpa kebenaran ke Arab Saudi.

Akhbar harian sukan Perancis, L’Equipe, melaporkan bahawa Messi menandatangani klausa pilihan musim ketiga dalam kontraknya ketika kali pertama tiba pada 2021. Pegawai kelab memutuskan untuk tidak mengaktifkan klausa itu.

- Advertisement -

Pemain berusia 35 tahun itu digantung selama dua minggu semalam, kerana dia sepatutnya berlatih bersama pasukan berikutan kekalahan 3-1 di laman sendiri menentang Lorient dalam Ligue 1 pada Ahad lalu, tetapi sebaliknya terbang ke Arab Saudi.

Pemenang Piala Dunia bersama Argentina itu dilarang bermain atau berlatih dengan pasukan, manakala gajinya digantung sepanjang tempoh penggantungan.

Messi akan terlepas perlawanan Ligue 1 menentang Troyes dan Ajaccio, tetapi mungkin kembali untuk perlawanan menentang Auxerre pada 21 Mei. Dia kemudian akan terus bersama kelab itu sehingga musim berakhir pada 3 Jun.

PSG berada di tangga teratas dengan 75 mata daripada 33 perlawanan, lima mata di depan Olympique de Marseille yang berada di tempat kedua. – REUTERS

- Advertisement -