‘Saya nampak Little Napoleon ada dalam pentadbiran PM’

- Advertisement -

ALOR SETAR: Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dinasihatkan agar memastikan ‘Little Napoleon’ tidak diberi tempat dalam pentadbiran dan pemerintahannya.

- Advertisement -

Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, walaupun tindakan serta niat ‘Little Napoleon’ itu untuk ‘kebaikan bosnya’ namun caranya boleh mencetus perkara tidak diingini.

“Saya nampak ‘Little Napoleon’ ini ada dalam pentadbiran PM. Minta maaflah kalau tak betul. Tetapi mereka inilah yang menimbulkan perpecahan dan merancang perbalahan.

“Contohnya isu berkaitan penafian MB Kedah dalam program LIMA 2023, Majlis Kewangan Negara, majlis hari raya dan lain-lain, semua ini kerja ‘Little Napoleon’,” tegas beliau pada sidang media sempena Majlis Rumah Terbuka Menteri Besar di Seri Mentaloon, hari ini.

Kata Sanusi lagi, mereka juga memainkan peranan mencipta kawan mahupun lawan walhal beliau tidak mempunyai apa-apa isu atau kes bersama Perdana Menteri.

“Kalau ada isu pun berkaitan kempen di medan politik ketika pilihan raya tetapi apabila beliau (Anwar) menjadi PM dan saya sebagai MB, semua urusan adalah antara G to G (goverment to goverment),” tambahnya.

Justeru beliau sentiasa memantau kakitangan di pejabatnya dan memastikan sebarang tindakan yang dilakukan perlu persetujuan pihaknya terlebih dahulu untuk mengelak wujudnya ‘Little Napoleon’.

“Saya harap PM mendengar suara dan pandangan saya ini. Kalau tidak sesuai, tukar sahaja mereka itu dengan pegawai lain,” kata beliau lagi. – HARAKAHDAILY 27/4/2023

- Advertisement -