TANAH MERAH: Kehadiran Menteri Besar Ustaz Datuk Bentara Kanan Ahmad Yakob menziarahi mangsa kebakaran di Kampung Garam dekat sini disambut perasaan terharu penduduk terbabit.
Mangsa kebakaran Mat Zin Awang, 73, dan isteri Bidah Daud, 71, melahirkan rasa syukur dan berterima kasih di atas kunjungan Menteri Besar yang langsung tidak diduga.
“Allahuakbar, tiada bahasalah mek nak ucap betapa gembiranya mek, nak menangis pun ada bila seorang Menteri Besar mari ziarah mek dan keluarga,” katanya ketika ditemui sempena lawatan Menteri Besar dan Adun Bukit Panau Dato’ Abdul Fattah Mahmod, semalam.
Bidah turut berharap kerajaan dapat membina sebuah rumah untuk keluarganya memandangkan mereka tidak lagi mampu menyewa rumah kerana faktur usia lanjut.
“Anak-anak pun bantu sekadar mampu kerana keluarga mereka bukan golongan senang,” ujar Mat Zin.
Sementara itu Ahmad berharap Majlis Tindakan DUN Bukit Panau mencari ruang bagi membolehkan kediaman baharu dibina untuk pasangan suami berkenaan.
Katanya juga rumah dhuafat boleh didirikan untuk pasangan warga emas terbabit, namun perlu mengikut syarat yang ditetapkan.
“Paling penting tanah berkenaan milik sendiri atau milik orang lain yang diberi keizinan untuk membina rumah tersebut, kalau milik syarikat atau badan-badan lain tidak cukup syarat,” ujarnya.
Pada kunjungan tersebut menteri Besar menyampaikan sumbangan kebakaran daripada Tabung Serambi Mekah untuk menampung keperluan keluarga mangsa kebakaran itu. – HARAKAHDAILY 26/4/2023