Ibu kota mulai lengang menjelang Aidilfitri

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Keadaan lalu lintas di ibu kota semakin lengang menjelang Aidilfitri esok apabila semakin ramai warga kota pulang ke kampung.

Tinjauan HarakahDaily menunjukkan kenderaan semakin berkurangan melalui plaza utama lebuh raya PLUS dari arah ibu kota menghala ke selatan, iaitu Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

- Advertisement -

Hanya terdapat sedikit kesesakan lalu lintas di lebuh raya PLUS, arah memasuki ibu kota antara Sungai Besi ke Bandar Tun Razak, tetapi hanya bersifat sementara.

Walaupun banyak kenderaan di Lebuh Raya MRR2 dari arah Ampang menuju ke lebuh raya Karak, iaitu laluan utama ke negeri Pantai Timur, aliran trafik didapati berjalan lancar.

Bagi mereka yang ingin mendapatkan keadaan trafik lebuh raya terkini boleh menghubungi talian PLUSLINE di 1800-88-0000 atau talian LLM di 1800-88-7752.

Keadaan trafik lancar di susur masuk lebuh raya PLUS

Sementara itu di Gua Musang, Kelantan, keadaan trafik masih lancar biarpun ada lencongan sebelum menghala ke bandar Gua Musang dan simpang ke Kuala Krai ekoran pembinaan projek lebuh raya lingkaran tengah.

Seorang pengguna jalan raya dari Klang, Selangor memberitahu kenderaan yang melalui lencongan tersebut mengambil masa kira-kira 45 minit kerana berlaku kesesakan daripada dua lorong kepada satu lorong.

Aliran trafik dari Gerik ke Tanah Merah semalam berlaku sedikit kesesakan berhampiran pekan Bukit Bunga memandangkan banyak kenderaan singgah untuk membeli belah di situ. – HARAKAHDAILY 21/4/2023

- Advertisement -