KOTA BHARU: Kenyataan yang mempersendakan nama Menteri Besar Kelantan menyebabkan Pemuda PAS, hari ini, membuat laporan polis terhadap seorang pengguna Facebook (FB) yang menggunakan nama akaun Wan Mahussin Wan Zain.
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri, Mohamad Kamal Mohamed berkata, Wan Mahussin memuatkan kenyataannya dalam media sosial berkenaan, iaitu:
“Cerita sebenar! Menteri Besar Kelantan bertemu PM bukan untuk bincang Isu royalti tetapi minta peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan untuk membayar gaji kakitangan kerajaan negeri dan imbuhan duit raya. Kerajaan Kelantan tidak mampu membayar gaji kakitangan.”
Katanya, kandungan kenyataan itu boleh disalah erti oleh rakyat Kelantan serta menimbulkan suasana tidak harmoni dan prejudis terhadap Ustaz Dato Bentara Kanan Ahmad Yakob dan kerajaan.
“Atas apa jua niat, laporan polis ini dibuat kepada Wan Mahussin agar keadilan dan nama baik kerajaan dapat dibersihkan atas kenyataan yang tidak bertanggungjawab tersebut, ” katanya dalam satu kenyataan.
Laporan polis tersebut dibuat Ketua Penerangan Pemuda PAS negeri, Ustaz Wan Ahmad Sharifuddin Wan Shafee dan Timbalan Ketua Pemuda Ketereh, Muhammd Redha Abdullah di Ibu Pejabat Polis (IPD) Kota Bharu di sini.
Mohamad Kamal juga berkata, pada akhir Ramadan yang penuh barakah, semua pihak dinasihatkan memperbanyakkan istighfar keampunan dan tidak membuat sebarang kenyataan berbaur fitnah di mana-mana laman sosial. – HARAKAHDAILY 20/4/2023
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!