Operasi SADA era kerajaan PH rugi RM36 juta

- Advertisement -

ALOR SETAR: Usaha menaiktaraf infrastruktur bekalan air di Kedah dirancang sejak 2010, antaranya menubuh Syarikat Air Darul Aman (SADA), audit kedudukan semasa serta unjuran keperluan masa depan.

- Advertisement -

Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, sejak 2013 kerajaan sudah mengenal pasti dan memuktamadkan beberapa langkah yang perlu dilaksana termasuk mengatasi air tidak terhasil (NRW), penggantian paip utama dan keperluan Loji Rawatan Air (LRA) baharu.

Bagaimanapun katanya, akibat sikap pemimpin Pakatan Harapan (PH) ketika menerajui Kedah selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 mengakibatkan bayaran konsultan pembinaan LRA meningkat.

“Kerajaan negeri ketika itu sangsi dengan keputusan kerajaan sebelumnya (Barisan Nasional) dan bertindak membuat kajian semula untuk memilih konsultan baharu.

“Mereka tarik balik iklan tender kononnya nak pilih konsultan baharu tetapi keputusan yang dibuat tetap sama iaitu membina lima LRA dengan kos RM931 juta.

“Projek tertangguh 20 bulan malah fee kepada konsultan meningkat ke ratusan ribu,” katanya pada catatan di laman sosialnya.

Sanusi juga berkata, selepas melalui proses rundingan harga dan aspek teknikal, kerajaan persekutuan ketika itu melulus geran dan pinjaman untuk lima LRA baharu berjumlah RM931 juta.

Menurutnya juga kerajaan PH yang mentadbir Kedah sebelum ini meninggalkan ‘jasa’ dengan operasi SADA kerugian RM36 juta (2019) dan hutang bertampuk RM174 juta.

Baru-baru ini pemimpin PH mempersendakan ‘The Greater Kedah’ dengan mendakwa kerajaan PERIKATAN NASIONAL (PN) yang diterajui Sanusi gagal menangani masalah bekalan air. – HARAKAHDAILY 19/4/2023

- Advertisement -