Khidmat Malaysia nasihat waspada fenomena jerebu

Keadaan ibu negara ketika dilanda jerebu sebelum ini.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Fenomena jerebu bukan suatu perkara baharu di Malaysia kerana hampir setiap tahun, negara akan dilanda jerebu yang menjadi punca utama pencemaran dan pelbagai jenis penyakit.

Pengerusi Khidmat Malaysia, Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff berkata ketika ini, beberapa negeri di Semenanjung Malaysia mencatat bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap ‘tidak sihat’.

- Advertisement -

Menurutnya, berdasarkan laman web Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), bacaan IPU 0-50 dikategorikan sebagai baik, sederhana (51-100), tidak sihat (101-200), sangat tidak sihat (201-300), bahaya (301-400), sangat bahaya (401-500) dan kecemasan (lebih 501).

Semalam, katanya Kelantan, Kuala Lumpur dan Johor, mencatatkan bacaan IPU tidak sihat.

“Segamat di Johor didapati berada pada tahap 152, sekali gus menjadi kawasan yang mencatatkan tahap udara tidak sihat tertinggi ketika ini.

“Kota Bharu, Kelantan pula mencatatkan IPU pada tahap 111, juga dikategorikan tidak sihat. Manakala Cheras, Kuala Lumpur mencatatkan bacaan IPU pada tahap 103.

“Turut berisiko tinggi dilanda jerebu ialah Tanah Merah, Melaka yang kini mencatatkan IPU pada tahap 100; Seberang Jaya, Pulau Pinang (96), Nilai, Negeri Sembilan (96); Kuala Terengganu, Terengganu (95) dan Putrajaya (93),” katanya dalam satu kenyataan di laman Facebook miliknya, semalam, .

Ahli Parlimen Rantau Panjang itu turut memberitahu, pembakaran haram secara besar-besaran di negara ini adalah antara punca utama masalah jerebu.

Katanya, ini kerana pembakaran adalah kaedah yang lebih mudah, berbanding kerja penebangan menggunakan mesin yang biasanya melibatkan pokok dan tanaman.

Pengerusi Khidmat Malaysia, Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff

Selain itu, katanya cuaca kering menyebabkan kejadian kebakaran sehingga melibatkan kawasan hutan dan kawasan tanah yang mempunyai pemilik seperti sawah padi dengan fenomena ini menjadi lebih teruk setiap tahun hingga pernah menyebabkan sekolah terpaksa ditutup.

“Keadaan langit yang gelap dan berjerebu juga mengganggu jarak penglihatan dan menjadi punca masalah kesihatan menyebabkan langkah berhati-hati perlu dipertingkatkan,” katanya.

Justeru itu, beliau yang mewakili Khidmat Malaysia menasihat rakyat mempertingkatkan kewaspadaan terhadap gejala ini.

“Rakyat perlu mengelakkan aktiviti fizikal di luar bangunan bagi mengurangkan pendedahan kepada jerebu. Aktiviti fizikal akan menyebabkan peningkatan kadar pernafasan dan keadaan ini boleh meningkatkan risiko penyakit akibat jerebu.

“Rakyat perlu mengelakkan atau menangguhkan dahulu pelaksanaan program fizikal di luar bangunan. Apabila berada di luar bangunan, gunakan penutup hidung dan mulut yang sesuai. Dapatkan rawatan di klinik atau hospital jika mendapati diri tidak sihat,” katanya.

Beliau berkata, Khidmat Malaysia turut mengingatkan rakyat supaya sentiasa mengawasi kesihatan anak-anak kecil, manakala mereka yang menghidap penyakit respiratori dan jantung lebih mudah terjejas akibat pendedahan kepada jerebu.

Pada masa sama, katanya segala bentuk aktiviti pembakaran secara terbuka hendaklah dihentikan. – HARAKAHDAILY 18/04/2023

- Advertisement -