Hari raya yang menyatukan dan menginsafkan

Foto hiasan.
- Advertisement -

BULAN Ramadan hanya tinggal beberapa hari sahaja. Sebagai umat Islam yang mengejar ganjaran berlipat ganda pada bulan yang mulia ini sudah tentu berasa sedih dengan berakhirnya tawaran-tawaran tersebut. Kita hanya boleh berusaha pada sisa-sisa bulan tersebut dan mengharapkan segala amal ibadah kita diterima oleh Allah SWT. Kita juga sudah tentu berdoa mengharapkan kita akan bertemu dengan Ramadan pada tahun hadapan.

- Advertisement -

Di saat ini sudah tentu ramai dari kita yang sibuk dengan persiapan untuk menghadapi Hari Raya Aidilfitri. Sama ada yang kaya atau yang miskin akan merayakan hari raya dengan cara masing-masing. Sama ada di bandar atau di kampung, hari raya tetap meriah di mana-mana. Walaupun ramai yang merungut ketika suasana ekonomi masa kini namun sebarang kesusahan atau kepayahan terpaksa disembunyikan untuk menyambut hari kemenangan tersebut kadang-kala demi anak isteri dan kaum keluarga.

Tetapi adakah hari raya di zaman dunia tanpa sempadan ini telah menjadi terlalu materialistik berbanding di tahun-tahun 80-an, 70-an atau 60-an? Adakah kita hari ini lebih berlumba-lumba mengejar “benda” tetapi mengabaikan hubungan sesama insan dan yang lebih penting lagi hubungan kita dengan Allah SWT? Sekali imbas mungkin hari raya hari ini lebih komersil dari dahulu dengan pelbagai tawaran dan promosi sama ada di media tradisional ataupun media sosial.

Kita tidak boleh merumuskan hari raya hari ini lebih komersil semata-mata berdasarkan lambakan-lambakan pada media tradisional dan media sosial itu. Sebelum ini tidak ada media sosial justeru sudah tentu lambakan ini tidak wujud. Keadaan yang sama seperti ini sebelum adanya televisyen atau sebelum wujudnya stesen televisyen swasta dan satelit. Justeru kita tidak boleh menganggap hari raya tahun-tahun 80-an dan 90-an lebih komersil dari tahun-tahun 60-an dan 50-an.

Media sama ada media tardisional atau media sosial hanya alat. Terpulang kepada kepada kita untuk menggunakannya dengan cara yang paling bermanfaatkan untuk kita semua. Walaupun terdapat kandungan-kandungan (content) yang tidak sesuai atau yang merosakkan namun manfaat media sosial tidak dapat dinafikan. Memang dakyah akan tersebar namun dakwah juga akan menjadi lebih mudah sepertimana yang terbukti berlaku hari ini.

Di dalam keadaan terdapat masjid dan surau yang menghadapi masalah untuk mendapatkan penceramah yang memiliki tauliah untuk mengajar, kehadiran media sosial memastikan tiada siapa yang ketinggalan dari mendengar tazkirah Ramadhan. Mereka boleh memilih mana-mana penceramah dan boleh mendengar kuliah-kuliah di mana sahaja. Sama ada mahu atau tidak mahu sahaja. Dakwah hari ini adalah lebih terbuka dan hampir mustahil untuk disekat. Terpulang kepada kita untuk memanfaatkannya dengan bijak.

Tetapi terdapat amalan-amalan yang wajar dikekalkan. Mungkin hari ini kad-kad hari raya telah digantikan dengan mesej-mesej melalui media sosial namun amalan ziarah menziarahi di kalangan saudara mara, kawan-kawan dan jiran-jiran amat penting untuk mengukuhkan hubungan silaturrahim. Di suatu masa dahulu, penduduk kampung atau taman akan menziarahi di antara satu sama lain selepas solat sunat hari raya. Terdapat juga masyarakat yang mengadakan takbir dari rumah ke rumah pada malam hari raya. Amalan ini masih dikekalkan di banyak tempat dan perlu dihidupkan jika telah mati.

Bertukar-tukar juadah di pagi hari raya adalah juga satu amalan yang perlu dikekalkan. Ianya bukan satu pertandingan untuk menunjukkan keluarga mana yang dapat menyediakan juadah yang paling istimewa tetapi sepatutnya merupakan satu perkongsian di kalangan anggota masyarakat di atas dasar kasih sayang. Terdapat juga masyarakat bergotong-royong memasak hidangan hari raya seperti rendang atau dodol. Hidangan ini kemudian diedar-edarkan kepada penduduk. Malang sekali tidak banyak masyarakat yang masih mengamalkan gotong-royong ini.

Terdapat banyak amalan-amalan yang unik kepada masyarakat Melayu Islam yang sepatutnya memupuk perpaduan mereka. Sekiranya mereka mengamalkannya maka amat payah bagi mana-mana anasir asing untuk mememecahbelahkan mereka. Selain dari itu Islam adalah agama yang mementingkan hidup berjemaah dengan amalan-amalan yang sepatutnya mengukuhkan hubungan di antara mereka. Walau bagaimanapun apabila umat Islam bercakap tentang perpaduan dan menyatakan rasa bimbang terhadap masa dengan agama dan bangsa mereka, mereka  akan dituduh sebagai ekstrem. Manakala orang lain boleh bercakap dengan bebas tentang hak, agama dan budaya mereka tanpa dilemparkan apa-apa tuduhan.

Dato’ Iskandar Abdul Samad

Mungkin masalahnya orang Melayu lebih percaya kepada orang lain dari diri mereka sendiri. Segala macam tuduhan dipercayai. Melayu mungkin adalah bangsa yang paling toleran dalam dunia. Sejarah dari zaman Kesultanan Melayu Melaka ketika orang Melayu menguasai sepenuhnya bumi ini adalah buktinya. Pelbagai kaum hingga ke hari ini telah datang ke bumi ini dan telah diterima dengan sikap kecil tangan nyiru ditadahkan. Tetapi ada pula yang menasihatkan orang Melayu agar jangan angkuh. Satu nasihat yang tidak masuk akal bagi satu bangsa yang telah menyerahkan hampir segala-galanya. Semoga hari raya akan mendorong umat Melayu Islam agar menghayati erti kata perpaduan yang sebenar. Insaf dengan ibadah puasa yang dilalui sepanjang bulan Ramadan. Ketika umat Islam dihimpit di seluruh dunia, survival mereka perlu menjadi agenda utama mereka.

DATO’ ISKANDAR ABDUL SAMAD
Ketua Penyelaras
Pusat Sumber Untuk Kemajuan Masyarakat Dan Perumahan (REACH)
18 April 2023 – HARAKAHDAILY 18/4/2023

- Advertisement -