Polis kesan tiga lelaki bantu siasatan kes pukul

- Advertisement -

SEREMBAN: Polis sedang mengesan tiga lelaki untuk membantu siasatan berhubung kes pergaduhan di sebuah restoran di Taman Permai Seremban seperti video yang tular di laman sosial sejak semalam.

- Advertisement -

Ketua Polis Daerah Seremban ACP Nanda Maarof berkata ketiga-tiga individu berkenaan dikenali sebagai V. Raja Kumar, 29, S. Agilan, 24, dan Suresthiran.

“Siasatan mendapati ketika kejadian pada dua hari lepas, mangsa seorang buruh berusia 16 tahun dikatakan sedang makan bersama rakannya di restoran berkenaan sebelum diserang oleh tiga lelaki yang dikenali.

“Mangsa turut ditarik sehingga ke luar restoran dan telah dipukul berkali-kali, tidak lama kemudian dia berjaya melarikan diri dan membuat laporan polis pada 3.46 pagi. Motif pergaduhan disyaki kerana perselisihan faham,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Nanda berkata sehubungan itu, satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil ke balai polis berhampiran untuk membantu siasatan.

Semalam, tular beberapa video berdurasi 10 hingga 23 saat memaparkan seorang lelaki dipukul tiga lelaki di restoran berkenaan sehingga mendatangkan kecederaan. – BERNAMA

- Advertisement -