Kerajaan PH-BN amal konsep federalisme terpilih

Dato' Ustazah Siti Ashah Ghazali
- Advertisement -

ALOR SETAR: Ketegasan Menteri Besar, Dato Seri Muhammad Sanusi Md Nor mempertahankan hak Kedah menyebabkan negeri itu menghadapi pelbagai tindakan politik daripada kerajaan persekutuan.

- Advertisement -

Ketua Dewan Muslimat PAS Kedah, Dato’ Ustazah Siti Ashah Ghazali berkata, tindakan itu jelas menunjukkan kerajaan persekutuan gagal bersikap profesional bagi mentadbir negara.

“Kami bangga dengan Menteri Besar Kedah yang mampu menunjukkan kecemerlangan mentadbir negeri malah dalam masa yang sama tidak tunduk kepada pencabulan semangat federalisme,” katanya pada kenyataan, di sini, hari ini.

Di bawah kerajaan Madani yang diterajui PH-BN semakin banyak tekanan politik terhadap Kedah termasuk cuba menyinsih Menteri Besar daripada program kerajaan pusat.

Antaranya menghalang Menteri Besar daripada menghadiri program kerajaan persekutuan termasuk Lima 2023 di Langkawi dan wakil Majlis Kewangan Negara mewakili Kedah.

Selain itu fakta Tanah Rizab Kedah juga cuba dimanipulasi dan menyukarkan kelulusan usaha Kedah bagi membangunkan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP).

Siti Ashah yang juga anggota Exco kerajaan negeri menyifatkan kerajaan persekutuan sekarang melaksanakan federalisme terpilih dan gagal bersikap profesional dalam hubungannya dengan Kedah.

Katanya adakah kerana kelantangan Sanusi mempertahankan hak Kedah menyebabkan satu demi satu hak dan penglibatan pemimpin itu dinafikan.

“Beliau (Sanusi) mempunyai asas yang kuat dalam setiap perkara berkaitan Kedah termasuk pembangunan negeri. Malangnya hak Kedah diremehkan dengan alasan-alasan yang tidak masuk akal,” ujar Adun Merbau Pulas.

Menurutnya juga rakyat semakin bijak menilai malah yakin PERIKATAN NASIONAL (PN) akan memperoleh majoriti besar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi. – HARAKAHDAILY 16/4/2023

- Advertisement -