30 Hikam Ibn Ataillah Assakandari (25)

HIKMAH 25:

Advertisement

مَنْ وَجَدَ ثَمْرَةَ عَمَلِهِ عَاِجلاً فَهُوَ دَلِيلٌ عَلَى وُجُودِ القَبُولِ آجِلاً

“Barangsiapa mendapati hasil amalannya berlaku di atas dunia, maka ia adalah dalil penerimaannya di akhirat kelak.”

Hasil amalan yang dimaksudkan adalah dalam bentuk merasai kemanisan amal, merasa seronok melakukan amal tersebut. Jika ia terasa, ia menandakan tuhan menerima amalan tersebut, dan akan mendapat ganjaran di akhirat.

Ibn Abbad menjelaskan Firman Allah S.W.T:

 وَلِمَنۡ خَافَ مَقَامَ رَبِّهِۦ جَنَّتَانِ 

“Dan orang yang takut akan keadaan dirinya di mahkamah Tuhannya (untuk dihitung amalnya), disediakan baginya dua Syurga,”

(Ar-Raḥmān: 46)

Pertama syurga dunia iaitu kelazatan amal. Kedua syurga akhirat iaitu pahala.

Jangan beramal untuk merasai kemanisan, kerana itu akan memesongkan niat. Kerana niat sebenar ialah untuk Allah semata-mata. Jadikan kemanisan semata-mata tanda untuk kita terus istiqamah dengan amalan.

Ibrah Ramadan:

Bergembiralah bagi yang merasakan kelazatan beramal di bulan ibadah ini. Ia tanda amalan kalian diterima. Tetapi jangan berbangga atau merasa cukup dengannya. 

Kelazatan itu tuhan hadirkan supaya kita terus istiqamah dengan amalan itu walaupun selepas Ramadan. Bukan hanya bercukup dengan amalan tersebut walau mendapat pahala lebih besar dari ibadat seribu bulan. 

ALANG IBN SHUKRIMUN
25 Ramadan 1444
16 April 2023 – HARAKAHDAILY 16/4/2023