Piala FA: JDT, Kelantan, KL City, T’ganu layak ke suku akhir

Aksi perlawanan Terengganu menentang Melaka FC, malam tadi.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) berjaya melangkah ke pusingan suku akhir Piala FA selepas membenam PDRM FC 3-0 pada aksi pusingan kedua di Stadium Sultan Ibrahim, Johor, malam tadi.

- Advertisement -

Memanfaatkan kelebihan bermain di halaman sendiri, skuad Harimau Selatan tidak menunggu lama untuk membuka tirai jaringan seawal minit ketiga hasil hantaran pemain sayap Arif Aiman Mohd Hanapi yang disudahi dengan rembatan Bergson da Silva.

Bagaikan luka berganda buat Sang Saka Biru selepas JDT dihadiahkan dua sepakan penalti oleh pengadil yang kemudiannya diterjemahkan kepada gol menerusi Bergson dan Leandro Velazquez masing-masing pada minit ke-12 dan 27 sebelum selesa menuju masuk ke bilik persalinan.

Babak kedua perlawanan, JDT mempunyai beberapa peluang untuk menambah jaringan termasuk percubaan saat akhir Adam Farhan Mohd Faizal yang dengan mudah menolak masuk bola ke dalam gawang pelawat, namun dinafikan pengadil sekali gus menyaksikan keputusan kekal 3-0 kekal sehingga wisel ditiup.

Turut melangkah ke pusingan suku akhir, Terengganu FC yang menewaskan Melaka United FC 4-0 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) di Kuala Nerus, Terengganu.

 Skuad Penyu membuka tirai jaringan menerusi penyerang import kelahiran Croatia, Ivan Mamut seawal minit kelima permainan disusuli dengan gol kedua yang dihasilkan pemain gantian, Hakimi Abdullah pada minit ke-70 untuk meletakkan Terengganu di hadapan, 2-0.

Terengganu terus rancak menambah dua lagi jaringan gol menerusi Jordan Mintah masing-masing pada minit ke-82 dan pada masa kecederaan bagi menoktahkan kemenangan.

Kelantan FC dalam pada itu turut mencipta kemenangan 3-0 ke atas Manjung City FC untuk mara ke suku akhir pada aksi berlangsung di Stadium Majlis Perbandaran Manjung (MPM), Perak.

Tiga gol dihasilkan skuad Red Warriors hasil jaringan Mario Arques Blasco pada minit ke-33 serta Nuha Marong Krubally masing-masing pada minit ke-59 dan minit ke-90.

Sementara itu, Kuala Lumpur (KL) City FC juga berjaya mara ke suku akhir selepas menewaskan Imigresen FC 2-0 di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras.

KL City memperoleh gol hasil jaringan T.Saravanan pada minit ke-45 dan Romel Morales pada minit ke-83. – BERNAMA

- Advertisement -