SPRM perlu dipertanggungjawab kebocoran maklumat siasatan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Armada Bersatu Malaysia bimbang kebocoran sumber maklumat siasatan Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) yang didedah kepada umum.

- Advertisement -

Penolong Setiausaha Armada Nasional Faiz Rahmah berkata, antaranya pembocoran siasatan terhadap Bersatu dan pemimpinnya di media massa dan blog.

Selain itu katanya, sumber SPRM juga dipetik membocorkan maklumat siasatan terhadap Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali kepada Menteri Menteri Undang-undang dan Reformasi Institusi Datuk Seri Azalina Othman.

“Pada 23 Februari lepas Azalina mengumumkan di Parlimen bahawa SPRM telah menghantar laporan siasatan terhadap Mohd Nazlan kepada Ketua Hakim Negara berhubungan pelanggaran peraturan di bawah Kod Etika Hakim 2009.

“Sedangkan SPRM tidak mempunyai sebarang bidang kuasa untuk menyiasat tohmahan pelanggaran peraturan etika di bawah Kod Etika Hakim 2009,” katanya pada laporan polis di Balai Polis Dang Wangi hari ini.

Hadir Ketua Armada Nasional Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal.

Faiz juga berkata, turut dilaporkan Azalina mengutus surat kepada peguam Datuk Seri Najib Razak yang mengesahkan Mohd Nazlan melanggari Kod Etika Hakim 2009 dan mempunyai konflik kepentingan.

Menurutnya SPRM didakwa membocorkan maklumat siasatan kepada Azalina kemudian dilanjut kepada media massa dan blog untuk memberi gambaran negetif.

“Ini satu konspirasi untuk mencemarkan Mohd Nazlan sebagai seorang hakim. Kesannya boleh menghakis keyakinan orang ramai terhadap judisiari Malaysia,” ujarnya.

Kata beliau modus operandi itu dianggap untuk memberi gambaran palsu bahawa sasaran siasatan mereka bersalah, sebelum memfailkan sebarang pertuduhan di mahkamah bagi tujuan kolateral.

Katanya, serangan tersebut boleh menghancurkan demokrasi serta judisiari negara dan ia perlu disiasat.

Beliau juga berkata, SPRM dan Azalina dipercayai melakukan kesalahan-kesalahan termasuk di bawah Seksyen 65 Akta SPRM 2009, penyebaran salah maklumat di bawah Seksyen 124H Kanun Keseksaan dan pakat jahat jenayah di bawah Seksyen 120A dan 120B Kanun Keseksaan.

Oleh itu katanya Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki, Pengarah Kanan Siasatan Datuk Hishamuddin Hashim, Pengarah Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin dan seluruh pasukan siasatan perlu dipertanggungjawabkan atas kebocoran itu. – HARAKAHDAILY 12/4/2023

- Advertisement -