Liga Juara-Juara: Man City belasah Bayern 3-0

Haaland selepas menyumbat gol ketiga Manchester City - REUTERS
- Advertisement -

Rodri menjaringkan gol menakjubkan dan Erling Haaland mencipta satu lagi rekod jaringan ketika Manchester City menewaskan Bayern Munich 3-0 untuk meneruskan usaha memburu kejuaraan Liga Juara-Juara buat kali pertama.

Dalam perlawanan pertama suku akhir, Haaland yang menjaringkan gol ketiga City pada minit ke-76, kini mengumpul 45 gol dalam semua pertandingan, rekod satu musim untuk pemain Liga Perdana, mendahului Mohamed Salah dan Ruud van Nistelrooy.

- Advertisement -

Rodri meletakkan pasukan Pep Guardiola di hadapan pada minit ke-27, dengan memperdayakan pemain tengah, Jamal Musiala dan kemudian melencongkan rembatan jarak jauh menerjah sudut kiri pintu gol melepasi tangan penjaga gol, Yann Sommer.

“Saya tahu pasukan Bayern ini istimewa,” kata Guardiola yang mengendalikan Bayern antara 2013-16. “Kami mendapat keputusan yang baik, tetapi memerlukan dua perlawanan yang mantap. Apa sahaja boleh berlaku di Allianz Arena. Saya tahu itu kerana bersama Bayern selama tiga tahun.”

Rodri meraikan jaringannya dengan melutut di atas padang yang dibasahi hujan di Etihad, manakala pengurus baharu Bayern, Thomas Tuchel mengangkat tangannya melahirkan kehampaan ketika kekalahan terbesar pasukannya dalam Liga Juara-Juara sejak tewas 3-0 kepada Paris St Germain pada 2017.

“Amat istimewa bagi saya untuk menjaringkan gol pertama dalam Liga Juara-Juara. Ketika itu, kami bergelut kerana mereka adalah pasukan yang hebat,” katanya.

“Kadang-kadang kami faham, kami tidak boleh menguasai 80 peratus. Mereka juga bermain. Kami menjaringkan tiga dan boleh menjaringkan empat, tetapi ia adalah keputusan yang hebat.”

Pada babak kedua, Bernardo Silva menjaringkan gol kedua pada minit ke-70, menanduk masuk hantaran lintang Haaland. Pemain Norway itu kemudian menjaringkan gol, enam minit kemudian dengan sepakan jarak dekat.

“Ini tidak pernah berlaku kepada Bayern Munich, tetapi penghargaan kepada Manchester City. Mereka cemerlang dalam kedua-dua kotak,” kata bekas pemain Bayern, Owen Hargreavest. “Pep mempunyai rancangan permainan dan ia berfungsi dengan baik.”

Sommer yang sibuk sejak awal permainan, hampir menghadiahkan gol kepada Haaland pada minit ke-14. Menyimpan bola terlalu lama menyebabkan penyerang itu meluru ke arahnya dan meletakkan kakinya di atas bola dua ela dari jaring, tetapi tersasar.

Pemain tengah City, Ilkay Gundogan mempunyai peluang cerah pada minit ke-34, tetapi Sommer yang sudah terbaring sempat menguis dengan kaki untuk menyelamatkan pintu golnya daripada bolos.

Tendangan Ruben Dias pada separuh masa kedua kelihatan hampir pasti menerjah masuk, tetapi Sommer menolak melepasi palang. Bagaimanapun, dia tidak berdaya untuk menghalang Silva dan Haaland daripada melengkapkan kemenangan.

Guardiola berdepan musuh lamanya, Tuchel yang mengendalikan Chelsea ketika mereka menewaskan City pada final 2021.

Pengurus Sepanyol itu memenangi empat kejuaraan Liga Perdana, satu Piala FA dan empat Piala Liga di City, tetapi masih mengejar kejayaan di Eropah yang dimenanginya sebanyak dua kali ketika mengendalikan Barcelona.

Keyakinannya tinggi bahawa dia boleh menamatkan kemarau itu menjelang perlawanan kedua di Arena Allianz Munich pada 19 April ini.

“Kami tidak fikir ia sudah selesai. Mereka adalah pasukan yang bagus dan kami gembira dengan persembahan hari ini, tetapi kami perlu mencuba untuk memenangi perlawanan kedua nanti,” kata Rodri. – REUTERS

- Advertisement -