Segera sediakan pengangkutan khas di setiap sekolah

- Advertisement -

KERAJAAN digesa untuk menyediakan pengangkutan khusus sekurang-kurangnya sebuah van di setiap sekolah untuk murid-murid yang terlibat program atau aktiviti di luar sekolah. Selain daripada van, penyediaan bas di setiap zon kawasan bagi memastikan bas tersebut dapat digunakan sebaik mungkin oleh pihak sekolah yang membuat sebarang aktiviti yang melibatkan di luar sekolah amat diperlukan. 

Ironinya, sudah menjadi satu keperluan kerana sekarang ini, boleh dikatakan guru-guru sekolah merisikokan diri sendiri membawa murid keluar ke aktiviti di luar sekolah menggunakan kenderaan dan duit poket sendiri selain tahap keselamatan guru dan anak-anak murid yang tidak dijamin. 

Boleh dikatakan satu penganiayaan terhadap guru tersebut sekiranya berlaku kecelakaan ketika ke tempat program bersama-sama anak-anak murid. Apatah lagi, kerja hakiki seorang guru ialah mengajar dan bukannya menjadi pemandu kepada anak-anak murid yang terlibat aktiviti di luar sekolah sehingga membebankan tugasan guru tersebut. Kebajikan guru sepatutnya dijaga.

Kerajaan seharusnya mengeluarkan satu pekeliling yang jelas bahawasanya guru yang membawa murid ke program luar perlu menggunakan kenderaan rasmi. Guru-guru juga tidak dibenarkan menggunakan kenderaan sendiri apatah lagi menjadi pemandu kepada murid.

Polemik isu guru terpaksa menggunakan kenderaan sendiri untuk membawa murid yang terlibat program-program di luar sekolah ini telah lama berlaku dan seharusnya isu ini perlu dipandang serius oleh kerajaan.

Sehubungan itu, saya mengharapkan kerajaan untuk cakna dan prihatin berkaitan isu ini dan menyegerakan sekurang-kurangnya sebuah van atau bas di setiap zon untuk kegunaan sebarang aktiviti di luar sekolah untuk jangka masa yang panjang.

“Malaysia Sejahtera”

YB SENATOR DATO’ HAJI HUSAIN AWANG
Ahli Dewan Negara – HARAKAHDAILY 10/4/2023

- Advertisement -
- Advertisement -