Rakan Muda Ramadan dapat sokongan kerajaan Perlis

- Advertisement -

PADANG BESAR: Inisiatif Jabatan Belia dan Sukan menganjurkan program Rakan Muda Ramadan turut mendapat sokongan kerajaan Perlis.

- Advertisement -

Menteri Besar Mohd Shukri Ramli berkata, program seumpama itu begitu menarik dan ia perlu diteruskan pada masa akan datang.

Katanya, program tersebut sebagai platform untuk menarik minat anak-anak muda bagi menghidupkan bulan Ramadan dengan pengisian aktiviti dan program kerohanian.

“Ia juga dapat melatih belia membaca, memahami dan mengamalkan ajaran al-Quran dalam kehidupan seharian,” katanya pada program Rakan Muda Ramadan Peringkat Negeri di Masjid As-Sakinah Padang Melangit di sini semalam.

Turut hadir Ahli Parlimen Padang Besar Rushdan Rusmi, ADUN Santan Muhammad Azmir Azizan, Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negara Mohd Azhari Mohammad dan Pengarah Jabatan Belia Sukan Perlis Mohd Nizam Mat Daud.

Program tersebut diisi dengan pelbagai aktiviti kerohanian termasuk tadarus al-Quran, pertandingan hafazan dan azan.

Menteri Besar juga berkata, bulan Ramadan wajar diimarahkan dengan pelbagai program bagi mendekatkan anak-anak muda dengan amalan agama.

Sementara itu menurut Mohd Azhari, Rakan Muda Ramadan merupakan inisiatif jabatan itu dalam usaha mengimarahkan bulan Ramadan dengan pelbagai pengisian dan aktiviti.

“Program ini turut diadakan di seluruh negara yang digerakkan Jabatan Belia dan Sukan Negeri,” tambah beliau. – HARAKAHDAILY 10/4/2023

- Advertisement -