Tiada penyusutan keluasan Tanah Rizab Melayu di Kedah

Dato' Seri Muhammad Sanusi Md Nor
- Advertisement -

ALOR SETAR: Tanah Rizab Melayu (TRM) di Kedah yang dicabut keluar dan dibatalkan status pada tahun 1991 hingga 2023 seluas 4,751.3 hektar, manakala gantian dalam tempoh 90 tahun (1933-2023) seluas 5,160.03 hektar.

- Advertisement -

Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, berpandu rekod yang dikeluarkan Pejabat Tanah dan Galian Kedah jumlah pembatalan TRM lebih rendah berbanding yang digantikan.

Oleh itu katanya tiada berlaku penyusutan TRM di Kedah sejak diwartakan 90 tahun lalu.

Kata beliau keluasannya sehingga Januari 2023 iaitu 721.905.6 hektar melebihi 408 hektar berbanding 721,496.9 hektar yang diwartakan pada 1933.

“Sebaliknya Menteri Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad memberi jawapan yang tidak tepat di Dewan Negara.

“Jawapan yang diberi tidak berpandu kepada rekod terbaharu yang dikemaskini. Tetapi sebagai orang politik saya faham, tujuannya bagi menggambarkan kerajaan negeri sekarang mengabaikan kepentingan menjaga tanah rizab.

“Ada udang di sebalik mee. Di sebalik jawapan yang diberi memang kelihatan untuk meraih politik persepsi buruk terhadap Kedah,” katanya pada sidang media di Wisma Darul Aman petang semalam.

Baru-baru ini ketika menjawab soalan di Dewan Rakyat menteri terbabit
mendakwa TRM di Kedah hilang 5,100 hektar.

Sanusi turut merakam ucapan terima kasih kepada semua Ahli Parlimen PERIKATAN NASIONAL (PN) yang mewakili Kedah kerana menjelaskan fakta sebenar di Dewan Rakyat.

Beliau juga berkata, adalah lebih baik kementerian berkenaan merujuk data yang dikeluarkan PTG Kedah kerana ia lebih tepat dan terkini memandangkan urusan tanah di bidang kuasa kerajaan negeri.

“Rekod-rekod pentadbiran tanah terkini akan dikemaskini PTG sebelum diserah kepada Jabatan Ukur dan Pemetaan (JUPEM) dan Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 6/4/2023

- Advertisement -