Kenapa formula Kerajaan Perpaduan gagal?

- Advertisement -

ISTILAH Kerajaan Perpaduan kini semakin sunyi daripada wacana politik tanah air. Apa yang tinggal kini hanyalah istilah kerajaan madani yang dijadikan sebagai jenama alternatif kepada Kerajaan Persekutuan era Anwar-Zahid.

Tidak cukup dengan itu, keadaan pentadbiran negara yang semakin kucar-kacir ini juga telah memberi nilai tambah kepada semakin lenyapnya istilah Kerajaan Perpaduan yang juga digunakan secara tidak tepat mengikut makna istilahnya dalam sains politik yang sebenar.

Persoalannya, mengapa jenama kerajaan madani ini gagal?

1. Kerajaan madani tertubuh atas dasar pembohongan.

Apabila terbocornya satu rakaman suara audio yang merekodkan bahawa Dato’ Seri Anwar Ibrahim mempunyai hubungan sulit dengan Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, beliau dengan gelojohnya menafikan perkara tersebut.

“Saya menafikan sekeras-kerasnya mengenai adanya perbualan sebagaimana dalam audio rakaman tersebut, malah ingin tegaskan tiada sebarang perbualan saya dengan Datuk Seri Anwar selepas Perhimpunan Agung Umno 2020 (PAU2020).”

Tidak cukup dengan itu, beliau secara terbuka memberi jaminan dalam Perhimpunan Agung Umno (PAU) dengan laungan ‘No anwar, No DAP’ bahawa beliau menafikan ‘deal of century‘ antara dua tokoh Presiden parti yang sebelum ini menjadi seteru politik sejak berpuluh tahun lamanya.

Begitulah sebaliknya apabila Pakatan Harapan berkempen dalam PRU ke-15.

Mereka secara terbuka menyerang Umno dan berjanji kepada pengundi mereka akan menghantar pemimpin Umno yang korup ke penjara, namun apa yang berlaku adalah mereka menghantar pemimpin Umno ini ke Putrajaya.

2. Tertubuh atas dasar kepentingan kuasa.

Mereka memberi alasan bahawa Kerajaan Perpaduan ini tertubuh atas kehendak KDYMM YDPA.

Namun apa yang anehnya, mereka masih meletakkan diri serta pemimpin mereka yang mempunyai dakwaan kes mahkamah berprofil tinggi sebagai Ahli Jemaah Menteri meskipun terdapat lebih ramai Ahli-ahli Parlimen lain yang tidak mempunyai kes di mahkamah.

Berbeza dengan ketika PN bekerjasama dengan Umno sebelum ini yang mana telah merehatkan pimpinan-pimpinan utama yang terpalit dengan dakwaan kes di mahkamah dan hanya melantik mereka yang bersih.

Jelas mereka menggunakan nama istana demi kerakusan kuasa mereka.

3. Pertembungan ideologi perjuangan parti-parti.

Jelas kacau bilau yang berlaku dalam kerajaan pada hari ini salah satu daripada puncanya adalah roh perjuangan dan ideologi parti yang terlalu amat ketara perbezaannya antara Pakatan Harapan dan Umno.

Perbezaan dalam ideologi ini telah menyebabkan mereka gagal untuk memurnikan dasar-dasar dan polisi negara di dalam kementerian sekali gus membawa negara ini menuju kehancuran.

4. Janji manifesto yang diabaikan.

Kata Nabi, ciri munafik itu ada tiga. Salah satunya adalah apabila mereka berjanji, mereka mungkir janji tersebut.

Pakatan Harapan sekali lagi telah menguji kesabaran rakyat Malaysia apabila membakulsampahkan janji-janji yang mereka taburkan ketika PRU ke-15 yang lalu.

Alasan demi alasan diberikan namun rakyat kini telah muak dan marah ditipu sebanyak dua kali oleh PH dan ini pastinya akan dihukum oleh rakyat dalam PRU DUN di 6 negeri akan datang.

5. Pemusatan kuasa kepada Anwar-Zahid.

Ramai yang tertanya-tanya, mengapakah pentadbiran kerajaan menjadi teruk dan sentiasa menimbulkan keresahan dalam kalangan rakyat seperti ini.

Tiadakah pakar-pakar atau tokoh-tokoh politik atau negarawan dalam PH-BN yang bijak, berpengalaman dan boleh bantu negara ini?

Jawapannya ialah kerana sifat mengongkong serta pemusatan kuasa yang hanya terkumpul pada kuasa politik internal antara Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi. Kesemuanya dicatur mengikut kepentingan mereka berdua.

Mereka telah memandu pentadbiran negara ini dengan cara yang sangat gopoh, gelojoh dan sangat berkepentingan sehinggakan negara ini terumbang ambing ibarat perahu di tengah lautan ombak yang ganas.

Hanya satu solusi buat rakyat Malaysia. Kembalilah kepada agenda penyatuan yang jelas dan konsisten oleh PERIKATAN NASIONAL. Hanya dengan penyatuan yang dipimpin oleh keadilan Islam akan membawa kepada kestabilan.

Sekian.

USTAZAH WAN HASRINA WAN HASSAN
Ketua Muslimat PAS 
Negeri Selangor – HARAKAHDAILY 6/4/2023

- Advertisement -
- Advertisement -